Malaysia komited bina persekitaran digital selamat, inklusif bersama negara serantau – Fahmi
TOKYO – Malaysia komited untuk untuk bekerjasama dengan negara serantau bagi membina persekitaran digital yang selamat, inklusif dan dipercayai.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, melalui kerjasama, kepercayaan bersama dan pembangunan kapasiti yang berterusan, semua pihak dapat memastikan tiada mana-mana pihak yang terpinggir dalam era digital.
“Dalam dunia yang semakin saling terhubung hari ini, pergantungan kita terhadap teknologi digital semakin cepat berkembang. Walaupun ini membuka peluang besar untuk kemajuan, ia juga mendedahkan kita kepada risiko baru dan yang sedang berkembang.
“Memastikan persekitaran digital yang selamat dan dipercayai bukan lagi pilihan, ia adalah penting untuk melindungi kepentingan negara, kestabilan ekonomi dan kesejahteraan warganegara kita.
“Salah satu inisiatif utama Malaysia dalam usaha ini adalah Kempen Keselamatan Internet, sebuah program di seluruh negara untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai keselamatan internet melalui advokasi dan penglibatan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Asia-Pacific Telecommunity Ministerial Meeting (APT-MM) yang berlangsung di Tokyo, Jepun selama dua hari bermula hari ini.
Bertemakan “Harnessing Emerging Technologies for Sustainable, Inclusive and Equitable Digital Transformation in the Asia-Pacific”, mesyuarat peringkat tertinggi APT diadakan pada setiap lima tahun.
Pada tahun ini, APT disertai 31 negara ahli serta 19 ahli gabungan terdiri daripada pihak kerajaan, pengawal selia dan agensi swasta dari rantau Asia-Pasifik.
Dalam pada itu, Fahmi turut berkongsi usaha menyeluruh serta proaktif Malaysia dalam membina persekitaran digital yang selamat dan dipercayai dengan menekankan kepentingan perundangan keselamatan siber yang kukuh, kempen keselamatan dalam talian, serta rangka kerja kawal selia bagi memastikan akauntabiliti penyedia platform dalam talian.

Beliau turut menekankan keperluan melindungi golongan rentan seperti kanak-kanak dan warga emas serta menegaskan komitmen berterusan Malaysia untuk bekerjasama di peringkat serantau ke arah membangunkan komuniti Asia Pasifik yang inklusif dan berdaya tahan.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa mengetuai delegasi Malaysia menghadiri Senior Official Meeting (SOM) semalam yang turut disertai wakil-wakil dari Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
APT-MM kali ini juga bakal melancarkan “Ministerial Statement” dikenali sebagai Tokyo Statement, esok yang memberi penekanan terhadap enam keutamaan iaitu keterhubungan digital, inovasi digital dan keusahawanan, kepercayaan dan keselamatan, keterangkuman digital dan pembangunan kapasiti, kelestarian alam serta kerjasama serantau dan antarabangsa.
Keenam-enam keutamaan itu akan menggalakkan usaha peningkatan infrastruktur telekomunikasi serta digital, di samping melindungi keselamatan siber dalam memastikan akses digital yang inklusif.
APT merupakan pertubuhan antara kerajaan yang beroperasi serta bekerjasama dalam sektor pemberi khidmat telekomunikasi, sektor pembuatan peralatan komunikasi termasuklah penyelidikan, pembangunan dan inovasi dalam bidang telekomunikasi dan ICT.
Sebagai sebuah pertubuhan yang bersifat regional, APT memfokuskan wilayah Asia Pasifik dan keahlian APT terdiri daripada 38 buah negara ahli termasuk Malaysia, empat ahli bersekutu dan 140 ahli gabungan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






