
Malaysia kerah pasukan SMART bantu misi di Myanmar
KUALA LUMPUR – Malaysia telah mengerakkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Myanmar bagi membantu operasi menyelamat susulan gempa bumi dahsyat yang melanda negara itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pasukan elit berkenaan dijadual tiba di Yangon pada pukul 1 tengah hari bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan paling teruk terjejas.
“Sebagai negara jiran yang prihatin dan rakan solidariti dalam komuniti ASEAN, Malaysia menyatakan komitmen penuh dalam membantu negara-negara yang terkesan akibat bencana alam.
“Sehubungan itu, Kerajaan Malaysia telah mengatur gerak Pasukan SMART ke Myanmar dan mereka dijangka tiba di Yangon hari ini bagi melaksanakan misi menyelamat serta memberikan bantuan sewajarnya kepada mangsa yang terjejas.
“Lebih memilukan, terdapat laporan bahawa masih ada mangsa terperangkap di bawah runtuhan bangunan manakala usaha menyelamat sedang dijalankan dalam keadaan yang mencabar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Malaysia turut menggerakkan misi penghantaran bantuan ke Thailand yang sedang diselaraskan dan bakal dilaksanakan dalam masa terdekat.
Tambah Ahmad Zahid, Malaysia menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kekal komited untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam pengurusan bencana, khususnya dalam aspek penyediaan kepakaran, aset teknikal serta sokongan logistik bagi meringankan penderitaan mangsa serta mempercepatkan proses pemulihan pasca bencana.
“Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Myanmar dan Thailand dalam menghadapi detik sukar ini dan akan terus memainkan peranan aktif dalam usaha bantuan kemanusiaan di rantau ini,” katanya lagi.
Myanmar dilanda gempa bumi berukuran 7.7 skala Richter berpusat di Mandalay mengorbankan sekurang-kurangnya 694 orang, 1,670 cedera dan 68 lagi dilaporkan hilang.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |