Berita Semasa

Malaysia-Kemboja perkukuh kerjasama undang-undang ASEAN

PHNOM PENH – Malaysia menegaskan komitmen untuk memperkukuh kerjasama undang-undang dengan Kemboja sebagai usaha memperkasa timbang tara komersial antarabangsa dan mediasi di peringkat ASEAN.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuannya dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Keadilan Kemboja, TYT Koeut Rith, sempena lawatan kerja beliau ke negara itu.

“Perbincangan dua hala itu berlangsung dengan amat baik dan sangat bermanfaat.

“Kami bertukar pandangan mengenai pengukuhan kerjasama undang-undang dua hala serta menegaskan semula komitmen Malaysia untuk memperkasa timbang tara komersial antarabangsa dan mediasi di seluruh ASEAN,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, pertemuannya dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Keadilan Kemboja, TYT Koeut Rith bersama deligasi kedua-dua negara. – Foto FB/DSAOS

Menurut Azalina, penyelesaian pertikaian yang kukuh dan holistik amat penting dalam meningkatkan keyakinan pelabur, seiring dengan pertumbuhan pesat ekonomi di rantau itu.

Dalam pertemuan itu, Malaysia turut menjemput Kemboja untuk menyertai Forum Undang-Undang ASEAN 2025 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Ogos 2025.

“Forum itu bakal menghimpunkan pakar undang-undang dan pihak berkepentingan dari seluruh rantau serta akan diakhiri dengan satu pengesahan Kenyataan Bersama Menteri-Menteri Undang-Undang ASEAN bagi menegaskan semula komitmen terhadap matlamat bersama,” katanya lagi.

Selain itu, Azalina turut mengambil kesempatan menerangkan mengenai Konvensyen ASEAN 2025 mengenai Bantuan Guaman untuk Kanak-Kanak, yang bakal diadakan pada Jun 2025.

“Konvensyen itu bertujuan untuk mengukuhkan perkhidmatan bantuan guaman khusus bagi kanak-kanak di ASEAN, memandangkan Malaysia dan Kemboja berkongsi pendirian tegas mengenai pemerkasaan hak serta kesejahteraan kanak-kanak,” jelasnya lagi.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada kerajaan Kemboja atas layanan baik sepanjang lawatan delegasi Malaysia, yang mencerminkan semangat kesatuan dalam kalangan negara ASEAN.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button