Malaysia-Kemboja perkukuh kerjasama dua hala di Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan bersama rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang sedang berlangsung, di sini hari ini.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin membincangkan pelbagai aspek kerjasama antara Malaysia dan Kemboja yang boleh diperkukuh demi manfaat dan kesejahteraan bersama rakyat kedua-dua negara.
Antara bidang yang diberi penekanan termasuklah pelaburan dan perdagangan, industri halal, keselamatan siber, perbankan Islam, tenaga, pertahanan, pelancongan, pertanian serta pendidikan.
Menurut Anwar, kerjasama erat antara Malaysia dan Kemboja merupakan manifestasi kesungguhan kedua-dua negara untuk terus memainkan peranan aktif dalam membentuk rantau yang aman, stabil dan makmur.
“Pertemuan ini membuahkan hasil yang positif dengan tumpuan kepada pemerkasaan hubungan jangka panjang serta agenda pembangunan serantau yang inklusif,” katanya menerusi hantaran di media sosial rasmi beliau.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 menghimpunkan para pemimpin negara-negara Asia Tenggara bagi membincangkan isu-isu penting rantau ini termasuk ekonomi, keselamatan dan kerjasama strategik serantau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








