
Malaysia kekal di kedudukan ke-9 dalam eksport teknologi tinggi dunia
CYBERJAYA – Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan ke sembilan daripada 143 ekonomi dunia dalam senarai pengeksport utama barangan teknologi tinggi, menurut Laporan Prestasi Teknologi Tinggi Malaysia 2023 yang diterbitkan oleh Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MiGHT), di sini hari ini.
Kedudukan kukuh itu membuktikan daya saing negara yang semakin mantap dalam pasaran global, khususnya dalam sektor berteknologi tinggi.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MiGHT, Rushdi Abdul Rahim berkata, laporan tersebut berpandukan data COMTRADE Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menilai eksport berdasarkan keamatan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) seperti yang ditakrifkan oleh OECD.

“Peratusan eksport teknologi tinggi Malaysia berbanding keseluruhan eksport barangan pembuatan mencatat peningkatan ketara sebanyak enam peratus daripada 52.48 peratus pada tahun 2022 kepada 58.69 peratus pada tahun 2023.
“Selain itu, negara turut merekodkan lebihan dagangan tertinggi dalam tempoh sedekad berjumlah USD51.5 bilion (RM226 bilion),” jelas Rushdi pada majlis pelancaran laporan itu di MiGHT Partnership Hub, di sini hari ini.
Menurut beliau, pada peringkat global, bahagian eksport barangan teknologi tinggi Malaysia meningkat kepada 3.32 peratus dengan nilai eksport melonjak daripada USD125 bilion (RM548 bilion) kepada USD127 bilion (RM557 bilion).
“Peningkatan ini berlaku dalam konteks pertumbuhan global sebanyak USD80 bilion (RM351 bilion), menjadikan jumlah keseluruhan eksport teknologi tinggi dunia mencecah USD3.83 trilion (RM16.8 trilion) pada tahun 2023,”
Tambah beliau, kumpulan produk Elektronik Telekomunikasi kekal sebagai penyumbang utama kepada pencapaian tersebut.
“Bagaimanapun, subkumpulan lain seperti peralatan saintifik, jentera elektrik dan aeroangkasa mempunyai potensi besar sekiranya disokong oleh strategi inovasi dan penembusan pasaran yang mantap,” katanya.
Majlis pelancaran laporan itu turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; Pengerusi Bersama MiGHT (Industri), Tan Sri Ahmad Tajuddin Ali dan Pengerusi Bersama MiGHT (Kerajaan), Tan Sri Zakri Abdul Hamid.
Selaras dengan nilai teras Kerajaan Madani seperti kelestarian, inovasi dan maruah ekonomi, Malaysia kini berada dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk berunding dalam perdagangan global, membina rantaian bekalan yang inklusif serta memperkukuh peranan dalam kerjasama serantau dan antarabangsa demi kemakmuran jangka panjang dan kesejahteraan rakyat.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |