BERITA SEMASADALAM NEGERIINISIATIF KERAJAANMALAYSIA MADANI

Malaysia jadi tuan rumah sidang kemuncak ASEAN AI 2025

PUTRAJAYA – Malaysia bakal menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN AI Malaysia 2025 yang akan berlangsung pada 12 dan 13 Ogos ini di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Kementerian Digital dalam satu kenyataan berkata, sidang kemuncak pertama itu dijangka menghimpunkan lebih 1,500 delegasi dari pelbagai negara, termasuk penggubal dasar, tokoh industri, penyelidik dan masyarakat sivil.

“Penganjuran ini bertepatan dengan peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.

“Malaysia komited membentuk laluan serantau yang memastikan pembangunan AI yang selamat, inklusif dan memberi manfaat kepada semua,” katanya.

Persidangan itu dianjurkan bersama Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) dan MyDIGITAL Corporation sebagai sebahagian daripada agenda memperkukuh tadbir urus AI dan penyelarasan dasar digital serantau.

“Tumpuan utama perbincangan termasuk isu kedaulatan data, pembangunan bakat digital, penyelarasan peraturan serta kes penggunaan AI dalam sektor seperti kesihatan, pendidikan, pertanian dan kewangan.

“Antara tokoh antarabangsa yang menyampaikan ucaptama ialah Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn; Pengarah Masa Depan Angkasa GCC, Mishaal Ashemimry; Ketua Pegawai Eksekutif Oxford Insights, Richard Stirling dan Ketua Pegawai Teknologi Grab, Suthen Thomas Paradatheth.

“Kehadiran tokoh-tokoh ini dijangka memperkaya perbincangan serantau dan membawa pelbagai perspektif global dalam aspek tadbir urus AI, keterangkuman serta inovasi mampan,” jelasnya.

Selain persidangan utama, Kuala Lumpur turut akan menjadi hos kepada KL AI Takeover Week dari 10 hingga 14 Ogos, menampilkan pelbagai program teknologi, ceramah awam, pertandingan pembangunan serta bengkel komuniti.

“KL AI Takeover Week memberi ruang kepada pemain industri dan belia untuk meneroka potensi AI secara lebih dekat dan terbuka kepada masyarakat.

“Antara pengisian termasuk AI Builder Hub, AI Code Fest, AI Horizon 2025 dan acara khas Youth Caucus yang memberi peluang kepada golongan muda menyuarakan pandangan terhadap masa depan teknologi serantau,” katanya.

Penyertaan pelbagai pihak dalam sidang itu mengukuhkan posisi Malaysia sebagai hab strategik dalam memperkasa AI yang selamat, bertanggungjawab dan menyeluruh di peringkat ASEAN.

Maklumat lanjut boleh dilayari di laman rasmi: www.aimalaysiasummit.gov.my.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button