
Malaysia-Iran sepakat perkukuh solidariti Palestin – PM
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap Presiden Iran, Masoud Pezeshkian atas komitmen berterusan dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang dizalimi rejim Zionis Israel.
Dalam satu hantaran di Facebook semalam, Anwar berkata Malaysia berdiri teguh bersama Iran dalam menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk penjajahan dan pengusiran terhadap penduduk Gaza.
“Malaysia mengecam kemunafikan negara tertentu yang kononnya menjunjung hak asasi manusia, namun membenarkan pembunuhan beramai-ramai tanpa sebarang tindakan bermaruah.
“Bungkam kepada kezaliman adalah satu pengkhianatan terhadap nilai kemanusiaan sejagat,” katanya.
Menurutnya, dasar luar Malaysia dibentuk berdasarkan kepentingan nasional dan bukan ditentukan oleh tekanan kuasa luar.
Terdahulu, Anwar menerima panggilan telefon daripada Pezeshkian sempena sambutan Aidiladha di mana kedua-dua pemimpin turut menyampaikan doa agar jemaah haji Malaysia dan Iran dikurniakan haji mabrur.
“Dalam semangat Aidiladha yang mengangkat nilai pengorbanan dan keadilan, saya menzahirkan penghargaan mendalam atas ketegasan Presiden Pezeshkian dalam mempertahankan nasib rakyat Palestin, khususnya di Gaza,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Iran atas usaha memudahkan pemulangan dua warganegara Malaysia yang sebelum ini ditahan di negara berkenaan.
Anwar berkata, hubungan dua hala Malaysia-Iran terus diperkukuh menerusi lawatan rasmi Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ke Tehran baru-baru ini.
Katanya, pertemuan itu menyentuh pelbagai bidang strategik termasuk pendidikan, teknologi, keterjaminan makanan, perdagangan, pelaburan serta sektor minyak dan gas.
“Malaysia turut menyambut baik keputusan menyambung semula operasi penerbangan Mahan Air dari Tehran ke Kuala Lumpur, yang bakal membuka lebih banyak peluang kerjasama ekonomi dan hubungan antara rakyat,” katanya lagi.
Anwar menzahirkan harapan agar sambutan Aidiladha tahun ini membawa rahmat dan penyatuan umat Islam di seluruh dunia.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |