Malaysia-Indonesia kukuh kerjasama dua hala dalam industri padi, keterjaminan makanan serantau
PUTRAJAYA – Lawatan kerja Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ke Indonesia berjaya mengukuhkan hubungan dua hala dalam sektor pertanian serta kerjasama strategik serantau dalam keterjaminan makanan.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyifatkan Indonesia merupakan antara rakan dagang utama Malaysia dalam sektor pertanian dengan jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencecah RM18.05 bilion pada 2024.
Dalam sektor agro-makanan khususnya, Indonesia kini muncul sebagai rakan dagang ketiga terbesar Malaysia.

“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia terus komited untuk memperkukuh agenda keterjaminan makanan serantau melalyu kerjasama strategik dengan negara-negara jiran.
“Lawatan ini mencerminkan kesungguhan Malaysia dalam menghadapi cabaran global dan membina ketahanan sistem makanan yang berdaya saing dan mampan di rantau ini,” katanya,
Menurut kenyataan itu lagi, lawatan kerja tersebut dimulakan dengan mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam pertemuan rasmi bersama Wakil Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka.
Pertemuan itu menyaksikan perbincangan pelbagai inisiatif memperkukuh hubungan dua hala dalam sektor pertanian dan perikanan.
Mohamad turut mengadakan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatnya, Menteri Pertanian Republik Indonesia, Dr. Ir. H. Andi Amran Sulaiman.
“Perbincangan ini memberi fokus kepada industri strategik seperti padi, tenusu, makanan ternakan, kelapa dan jagung yang memainkan peranan penting dalam keterjaminan makanan kedua-dua negara.
“Malah, Dr. Amran turut berkongsi inisiatif transformasi pertanian Indonesia yang melibatkan teknologi pintar, penanaman padi tiga musim setahun dan pembangunan varieti padi IPB 9G berproduktiviti tinggi serta tahan lasak,” kata kenyataan itu lagi.
Kedua-dua pihak kemudian turut menjejaki potensi kerjasama pembangunan ladang berskala besar di Kalimantan dan Papua Selatan.
Sebelum menamatkan lawatan, Mohamad juga telah mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Perusahaan Umum BULOG (Perum BULOG), agensi utama Indonesia dalam pengurusan stok makanan asas.
Sesi tersebut memberi tumpuan kepada kerjasama dalam sistem pengurusan stok padi, logistik makanan serta penyimpanan stok strategik serantau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






