BERITA SEMASAPMX

Malaysia hargai peranan Qatar jayakan gencatan senjata Asia Barat – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani atas peranan negara itu dalam memeterai gencatan senjata antara Iran, Israel dan Amerika Syarikat yang berjaya meredakan ketegangan di Asia Barat.

Menurut Anwar, kejayaan rundingan damai yang dimeterai itu merupakan langkah signifikan dalam mengelakkan pertembungan lebih besar yang boleh mencetuskan konflik berskala luas di rantau berkenaan.

“Saya berhubung dengan Emir Qatar, Yang Amat Mulia Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani petang tadi. Saya merakamkan penghargaan atas peranan penting beliau dalam memeterai gencatan senjata antara Iran, Israel dan Amerika Syarikat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri turut memuji pendirian Qatar yang tetap konsisten dalam memainkan peranan berterusan bagi mencapai gencatan senjata antara Palestin dan Israel, meskipun berdepan tekanan geopolitik dan cabaran diplomatik.

Katanya, Sheikh Tamim memaklumkan bahawa beliau telah berbincang dengan bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk menggesa Washington menumpukan usaha menghentikan tindakan genosid di Gaza ke arah penyelesaian damai yang adil dan berkekalan.

“Beliau menggunakan kesempatan itu untuk menggesa AS menumpukan usaha ke arah menghentikan genosid di Gaza serta mewujudkan perdamaian yang adil dan berkekalan,” katanya.

Anwar berkata, Malaysia akan terus menyokong sebarang usaha yang mendukung penyelesaian damai berteraskan keadilan dan kedaulatan.

“Rundingan jujur serta saling menghormati hak setiap negara adalah asas utama bagi menjamin keamanan yang berkekalan di Asia Barat dan seluruh dunia,” jelas Perdana Menteri lagi.

Malaysia sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap situasi kemanusiaan yang semakin memburuk di Gaza dan menggesa komuniti antarabangsa mengambil tindakan segera bagi menghentikan kekejaman rejim Zionis ke atas rakyat Palestin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button