BERITA SEMASAPMX

Malaysia, Guinea-Bissau buka lembaran baharu kerjasama strategik

PUTRAJAYA — Malaysia dan Republik Guinea-Bissau hari ini membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala apabila Presiden Guinea-Bissau, Jeneral Umaro Sissoco Embalo melakukan lawatan rasmi pertama ke negara ini.

Lawatan bersejarah itu disifatkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai satu ‘pemutusan penting’ yang bakal mengukuhkan kedudukan Malaysia di rantau Afrika Barat serta memperkukuh kerjasama ekonomi dan diplomatik antara kedua-dua negara.

Jeneral Umaro diberi sambutan negara sebaik tiba untuk lawatan rasmi di Malaysia hari ini. – Foto Pejabat Perdana Menteri

“Presiden Umaro mempunyai visi yang jelas untuk menjadikan Malaysia sebagai rakan strategik, khususnya sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN.

“Guinea-Bissau pula berpotensi menjadi pangkalan utama kita untuk meneroka peluang di Afrika Barat,” kata Perdana Menteri pada sidang media bersama selepas pertemuan dua hala.

Menurut Anwar, antara bidang kerjasama yang dibincangkan termasuklah industri halal, kewangan Islam, pendidikan tinggi, teknologi makanan serta sektor minyak dan gas.

Malaysia turut bersedia menawarkan bantuan teknikal melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) serta program pembangunan lain yang akan diselaraskan kementerian berkaitan.

Perdana Menteri juga menyatakan Presiden Umaro akan bertemu dengan beberapa syarikat utama Malaysia seperti Petronas dan FGV bagi meneroka potensi pelaburan dua hala.

Sementara itu, Presiden Umaro menyatakan komitmennya untuk menjadikan hubungan ini sebagai satu kerjasama jangka panjang yang memberi manfaat bersama.

“Saya amat berbesar hati menjadi Presiden pertama Guinea-Bissau yang melawat Malaysia. Ini bukan sekadar hubungan antara dua negara, tetapi hubungan adik-beradik yang saling menyokong,” katanya.

Umaro berkata, pasukannya telah diarahkan untuk segera melaksanakan segala persetujuan yang dicapai bersama Malaysia, dan menyatakan kesediaan Guinea-Bissau menjadi ‘pintu masuk’ kepada Malaysia di benua Afrika.

“Saya yakin hubungan ini akan menjadi lebih kukuh dan memberi manfaat bukan hanya kepada Guinea-Bissau dan Malaysia, tetapi juga kepada komuniti global,” tambah beliau.

Lawatan rasmi itu menandakan permulaan era baharu hubungan diplomatik Malaysia, Guinea-Bissau yang berasaskan persefahaman, kepercayaan dan matlamat pembangunan bersama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button