Berita SemasaDalam Negeri

Malaysia fokus perkukuh keselamatan ASEAN di bawah Pengerusiannya – KDN

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan komitmennya dalam memperkukuhkan kerjasama keselamatan serantau sempena Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail berkata, kementerian itu memikul tanggungjawab besar dalam kluster keselamatan ASEAN dengan memberi tumpuan kepada 10 agenda utama sepanjang tempoh kepengerusian Malaysia.

“Mesyuarat Menteri-Menteri Keselamatan ASEAN dijadualkan berlangsung September ini di Melaka, manakala mesyuarat peringkat pegawai telah pun bermula,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan KDN di sini, hari ini.

Kementerian Dalam Negeri terus komited memastikan tahap keselamatan negara terkawal terutama ketika Malaysia bertanggungjawab menjadi Pengerusi ASEA tahun ini.

Tambah beliau, antara isu utama yang diberi perhatian adalah jenayah rentas sempadan melibatkan perkongsian maklumat risikan, peningkatan kapasiti dan operasi bersama.

“Tiada negara ASEAN mampu menangani jenayah rentas sempadan secara bersendirian. Kerjasama serantau adalah amat penting,” katanya.

Selain itu ujar beliau, KDN turut memfokuskan kepada jenayah siber khususnya penipuan atas talian yang semakin meningkat di Malaysia dan peringkat global.

“Perkara ini akan menjadi agenda utama dalam mesyuarat keselamatan ASEAN,” ujar beliau.

Dalam isu keselamatan domestik pula, Saifudin memberi jaminan bahawa keadaan keselamatan negara terkawal dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik.

Mengenai pemilikan senjata api, beliau menegaskan bahawa undang-undang sedia ada sudah cukup ketat.

“Daripada 100 rayuan, hanya purata tiga kes diluluskan dengan justifikasi kukuh seperti perlindungan kebun yang sah,” jelasnya.

Susulan insiden jenayah melibatkan premis perniagaan baru-baru ini, KDN juga akan meningkatkan modul latihan pengawal keselamatan dan Polis Bantuan.

“PDRM akan meneliti semula keperluan latihan asas berdasarkan ancaman semasa. Kami juga akan libatkan industri kawalan keselamatan untuk pendekatan lebih komprehensif,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa KDN akan terus memastikan keselamatan negara berada di tahap tertinggi sejajar dengan cabaran keselamatan yang semakin kompleks.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button