
Malaysia fokus ekonomi Madani dan peranan ASEAN tahun 2025
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan tahun 2024 sebagai mukadimah penting bagi pembaharuan nasional, khususnya melalui Kerangka Ekonomi Madani yang bertujuan menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia.
Beliau turut menggariskan agenda utama kerajaan bagi tahun 2025, termasuk menangani kos sara hidup dan melaksanakan tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN.
Anwar berkata Kerangka Ekonomi Madani yang dilancarkan pada Julai 2023 menjadi panduan jelas untuk membangunkan ekonomi berlandaskan keadilan dan ihsan. “Kerangka ini bukan hanya memacu pertumbuhan ekonomi tetapi juga memastikan keadilan dapat ditegakkan untuk semua rakyat Malaysia,” katanya dalam ucapan Tahun Baharu 2025 di sini hari ini.
Anwar berkata, kerajaan akan meningkatkan peruntukan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM3 bilion atau 30 peratus, menjadikan jumlah keseluruhan kepada RM13 bilion pada tahun 2025.
“Ini adalah jumlah terbesar dalam sejarah bagi memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan,” katanya lagi.
Kerajaan akan terus menangani kos sara hidup melalui Program Payung Rahmah yang giat dilaksanakan di seluruh negara. Pasukan pemantau harga akan diperkuat bagi menangani pihak yang mengambil kesempatan.
Anwar turut berkata, projek tebatan banjir di kawasan berisiko tinggi akan diteruskan walaupun melibatkan kos yang tinggi.
“Kesiapsiagaan kita telah dirangka bagi mengurangkan dampak musibah banjir, memastikan bantuan sampai segera, dan memulihkan kehidupan rakyat,” katanya lagi.
Dalam ucapan beliau turut menyentuh Malaysia sebagai pengerusi ASEAN yang membawa tema “Keterangkuman dan Kemampanan” dengan fokus mengurangkan jurang perbezaan ekonomi dan memastikan pembangunan mampan untuk semua.
“Kita mahu ASEAN berkongsi limpahan kemakmuran secara adil tanpa ada kelompok atau wilayah yang tersisih,” tegasnya.
Perdana Menteri juga menekankan pentingnya tatakelola yang mantap untuk memastikan kejayaan negara.
“Ketirisan dan rasuah mesti dibanteras sepenuhnya agar Malaysia dihormati sebagai sebuah negara yang berdaulat dan bertanggungjawab,” katanya lagi.
Mengakhiri ucapannya, Anwar menyeru semua pihak untuk bersama-sama berusaha membina negara yang lebih maju dan inklusif.
“Tahun 2025 adalah peluang untuk kita mencipta lembaran baharu yang lebih gemilang buat Malaysia,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |