
Malaysia dipilih tuan rumah M360 ASEAN 2006 hingga 2028
SHANGHAI – Malaysia dipilih secara rasmi sebagai tuan rumah bagi menganjurkan acara Persatuan Sistem Komunikasi Mudah Alih Global (GSMA)
M360 ASEAN untuk tempoh tiga tahun bermula 2026 hingga 2028.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan, penganjuran acara itu merupakan hasil kerjasama strategik antara pihaknya dan GSMA.
“Perjanjian itu dimeterai dalam satu majlis rasmi di sini semalam antara Pengerusi Eksekutif MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pegawai Kawal Selia GSMA, John Giusti.
“Di bawah perjanjian itu, Malaysia akan menjadi negara tuan rumah rasmi untuk M360 ASEAN, dengan edisi sulung dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada September tahun hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu katanya, acara utama serantau itu akan menghimpunkan pemimpin sektor awam dan swasta dari seluruh Asia dalam membincangkan isu utama berkenaam ekonomi digital, termasuk evolusi 5G, ketersambungan, keselamatan siber dan kemasukan digital.
“GSMA ialah organisasi industri global yang mewakili kepentingan pengendali mudah alih dan ekosistem mudah alih yang lebih luas.
“Antara acara yang dianjurkan termasuk Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) tahunan di Barcelona dan edisi serantau di Shanghai, Kigali dan Las Vegas. Acara ini adalah antara yang paling berpengaruh di dunia dengan menarik lebih 100,000 peserta dari lebih 200 negara dan wilayah,”katanya.
Dalam pada itu katanya, kerjasama strategik itu mengikuti peranan kepimpinan MCMC dalam Sidang Kemuncak Negara Digital GSMA Kuala Lumpur – Edisi ASEAN yang dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 24 September ini.
Katanya, sidang kemuncak itu dijangka dapat memperkukuh momentum ke arah penjajaran serantau yang lebih mendalam menjelang pelancaran M360 ASEAN pada tahun hadapan.
Sementara itu Mohamad Salim berkata, kerjasama tersebut merupakan pelaburan strategik yang mampu melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai hab utama digital di peringkat serantau.
“Malaysia komited menjadi medan pertemuan utama untuk perbincangan dasar dan inovasi yang memberi impak besar kepada masa depan kesalinghubungan digital.
“M360 ASEAN akan menjadi platform yang menyatukan dasar dan inovasi serta memberi perhatian kepada keutamaan rantau ini dengan pendekatan global,” katanya.
Menyentuh mengenai penganjuran dua acara besar itu, katanya, ia
menandakan permulaan kepada kerjasama yang lebih erat antara MCMC dan GSMA dalam memperkasa pembangunan ekonomi digital.
“Acara ini akan menghimpunkan pemimpin sektor awam dan swasta dari seluruh Asia dan antarabangsa bagi membincangkan isu penting seperti pembangunan teknologi 5G, keselamatan siber, keterangkuman digital dan penyambungan serantau,” katanya lagi.
Sementara itu, Giusti berkata, penglibatan aktif Malaysia memperkukuh usaha ke arah merealisasikan visi ASEAN 2045.
“Kolaborasi kerajaan, pengendali mudah alih dan inovator teknologi dalam satu platform mampu merangsang pelaburan serta memperluas kesalinghubungan digital yang inklusif di rantau ini,” katanya lagi.
Acara M360 ASEAN turut merangkumi sesi meja bulat menteri, forum pemimpin awam, pameran teknologi dan sesi jaringan eksekutif yang akan memberi tumpuan kepada penyelesaian dasar secara kolektif dan praktikal.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |