
Malaysia diiktiraf Negara Kehormat di Pesta Buku Antarabangsa Beijing 2025
BEIJING – Status Malaysia sebagai Negara Kehormat di Pesta Buku Antarabangsa Beijing (BIBF) 2025 merupakan satu pengiktirafan besar yang membuka lembaran baharu kepada hubungan strategik antara Malaysia dan China dalam bidang perbukuan, kandungan dan teknologi penerbitan.
Pengiktirafan itu turut memperkukuh kerjasama erat antara Malaysia dan negara China menerusi China National Publishing Import & Export Corporation (CNPIEC), selaku penganjur rasmi BIBF yang berlangsung pada 19 hingga 23 Jun, lapor portal CRI Malay.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar berkata, jalinan hubungan dua hala di antara kedua pihak telah dibina secara konsisten sejak tiga tahun lalu melalui pelbagai langkah penglibatan industri dan diplomasi kandungan.
“Kita bersama CNPIEC sejak tahun lepas dan tahun sebelumnya. Mereka bukan sekadar membantu, tetapi turut membuka ruang kolaborasi luas dari segi promosi, keterlibatan dan pengembangan hak cipta.
“Ini bukan sekadar peluang, tetapi penghormatan,” katanya kepada CGTN, semalam.
Penglibatan Malaysia dalam BIBF kali ini menyaksikan penyertaan 22 syarikat penerbitan dengan lebih 200 judul buku kurasi tempatan, termasuk 50 judul terbaik pilihan untuk pasaran hak cipta antarabangsa.
Adibah menambah, penyertaan aktif ini bukan sahaja membuktikan kemampuan industri kandungan tempatan, malah mencerminkan keyakinan rakan antarabangsa terhadap potensi penerbitan Malaysia di peringkat global.
Beliau menjelaskan, sebagai Negara Kehormat, Malaysia turut diberikan keistimewaan dari segi ruang pameran, promosi dan akses langsung kepada pemain industri utama di China.
“Kita tidak datang hanya sebagai Malaysia, tetapi sebagai wakil ASEAN. Status sebagai pengerusi ASEAN tahun ini memberikan kita peluang mengangkat suara sastera dan budaya serantau di pentas dunia,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |