
Malaysia, China rai ulang tahun ke-50
KUALA LUMPUR – Malaysia dan China hari ini meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik dalam satu majlis yang menandakan pencapaian penting persahabatan kedua-dua negara yang telah terjalin sejak 1974.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, hubungan yang bermula dengan visi jauh ke hadapan berdasarkan penghormatan dan kerjasama kini telah berkembang melangkaui diplomasi, merangkumi bidang ekonomi, pendidikan, teknologi, serta pertukaran budaya.
“Namun, hubungan erat ini sebenarnya bermula lebih awal, kira-kira 600 tahun lalu, sewaktu Dinasti Ming menjalinkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Kesultanan Melaka.
“Pelayaran Laksamana Zheng He ke rantau ini menjadi asas kukuh kepada hubungan budaya, ekonomi, dan diplomatik antara kedua-dua negara,” katanya.
Sempena majlis itu, sebuah video bertajuk “Zheng He (Harmony)” turut dilancarkan sebagai simbol hubungan budaya yang erat antara Malaysia dan China sejak zaman silam.
Video yang dihasilkan selama setahun itu menonjolkan nilai perpaduan dan kerjasama yang masih relevan hingga kini.
Dalam ucapannya, Aaron turut menyeru rakyat Malaysia untuk menghayati prinsip Negara Bangsa yang menjadi asas penyatuan masyarakat berbilang kaum.
“Prinsip ini, bukan bertujuan menghapuskan identiti budaya yang unik, tetapi menganyamnya ke dalam satu naratif yang memperkukuhkan identiti kebangsaan.
“Perpaduan bukan sesuatu yang berlaku secara automatik. Ia memerlukan usaha, pemahaman, dan kesediaan untuk mengatasi perbezaan demi kebaikan bersama,” katanya.
Aaron turut berkongsi kejayaan Kementerian Perpaduan Negara melancarkan beberapa inisiatif penting seperti Inisiatif Harmoni Madani dan Jejak Harmoni.
Program itu bertujuan memupuk kefahaman rakyat Malaysia terhadap kepelbagaian agama dan budaya melalui interaksi dan lawatan ke rumah ibadat pelbagai agama.
Dalam masa yang sama, Piagam Harmoni Malaysia yang diluluskan pada Ogos lalu menjadi panduan penting dalam mengukuhkan hubungan masyarakat berbilang etnik, agama dan budaya di negara ini.
“Piagam ini mengandungi enam prinsip, 12 nilai keharmonian, 32 garis panduan, dan sembilan hala tuju yang memberi panduan kepada rakyat untuk memperkukuhkan perpaduan dalam masyarakat,” katanya.
Aaron juga menegaskan bahawa perpaduan dan keharmonian adalah aset negara yang perlu dipelihara dan dihargai oleh setiap warganegara.
“Sebagai rakyat Malaysia, marilah kita bersama-sama membina sebuah negara di mana setiap individu, tanpa mengira latar belakang, berasa bangga memanggil Malaysia sebagai tanah air mereka.
“Perpaduan adalah kekuatan kita, kepelbagaian adalah keindahan kita, dan bersama-sama, kita adalah Negara Bangsa,” katanya mengakhiri ucapan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |