Malaysia-China perkukuh kerjasama strategik pertahanan
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam menerima kunjungan hormat Ketua Turus Jabatan Turus Bersama Suruhanjaya Ketenteraan Pusat China, Jeneral Liu Zhenli.
Anwar berkata, pertemuan itu bertujuan memperkukuhkan hubungan erat Malaysia-China yang telah terjalin sejak lebih lima dekad, selain membincangkan isu-isu strategik dan kepentingan bersama.
Katanya, Malaysia dan China komited untuk memperhebat kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk pertahanan, yang terbina atas asas persefahaman dan kepercayaan.
“Ini termasuk kerjasama dalam bidang pertahanan yang terbina atas premis persefahaman dan kepercayaan. Malaysia dan China sedia untuk meneroka usaha memperhebat kerjasama ini,” katanya dalam hantaran di Facebook, malam tadi.

Selain itu, pertemuan turut menjurus kepada persediaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, termasuk penganjuran persidangan ASEAN+GCC+China buat pertama kalinya.
Berhubung isu Laut China Selatan, Perdana Menteri menegaskan keperluan penyelesaian pertikaian melalui saluran diplomasi dan undang-undang antarabangsa bagi memastikan kestabilan dan keamanan serantau.
“Terkait Laut China Selatan, saya tegaskan bahawa sebarang isu mahupun pertikaian yang berbangkit harus diselesaikan secara aman menerusi saluran diplomasi dan jalur perundangan antarabangsa,” katanya.
Pertemuan itu mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk terus mengukuhkan hubungan strategik, khususnya dalam menangani cabaran bersama di peringkat global dan serantau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








