BERITA SEMASA

Malaysia-China perkukuh kerjasama digital, AI melalui dua MoU baharu

PUTRAJAYA – Malaysia dan China perkukuh hubungan dua hala dalam bidang ekonomi digital dan teknologi kecerdasan buatan (AI) melalui pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Suruhanjaya Pembangunan dan Reformasi Negara (NDRC) China, di sini hari ini.

MoU tersebut ditandatangani oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo yang mewakili Malaysia, manakala NDRC diwakili Pengerusinya, Zheng Shanjie.

Majlis menandatangani perjanjian itu turut disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden China, Xi Jinping.

Salah satu MoU bertujuan memperkukuh kerjasama dalam ekonomi digital, termasuk penyelarasan dasar, penjajaran kawal selia, transformasi industri digital, inovasi teknologi serta pembangunan bakat.

MoU kedua pula menyasarkan bidang AI yang merangkumi pertukaran teknikal, pembinaan infrastruktur AI, pertukaran garis panduan etika dan peningkatan literasi awam terhadap teknologi tersebut.

Gobind menyifatkan perjanjian ini sebagai langkah positif ke arah mempercepatkan transformasi digital negara selari dengan aspirasi Perdana Menteri dan kerangka Madani.

“Kerjasama dalam infrastruktur digital, AI, inovasi teknologi, pembangunan data, pertumbuhan industri digital dan pertukaran bakat penting untuk memastikan ekosistem digital Malaysia bersedia dari semua sudut – termasuk infrastruktur, keselamatan siber dan tenaga kerja,” katanya.

Satu ‘Pasukan Kerja Bersama dalam Ekonomi Digital’ akan ditubuhkan bagi merancang dan melaksanakan inisiatif yang dipersetujui, termasuk penglibatan antara bandar dan syarikat dari kedua-dua negara.

Secara keseluruhan, dua MoU ini merupakan sebahagian daripada 31 perjanjian yang ditukar antara Malaysia dan China.

Dalam perkembangan berkaitan, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) turut memeterai Surat Hasrat (LOI) dengan Universiti Zhejiang bagi meneroka kerjasama dalam transformasi digital, teknologi AI dan pembangunan bandar pintar.

Universiti Zhejiang terkenal sebagai institusi yang melahirkan tokoh dan syarikat teknologi terkemuka seperti DeepSeek, DEEP Robotics dan Manycore Tech.

Model pembangunan digital yang dipelopori wilayah Zhejiang menggabungkan teknologi digital dalam tadbir urus dan ekonomi menerusi perancangan strategik jangka panjang serta kerjasama sektor awam dan swasta.

Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia juga akan memanfaatkan kerjasama ini dalam pelbagai inisiatif digital, termasuk Pameran Bandar Pintar ASEAN pertama yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur, September depan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button