Malaysia berpotensi jadi hab latihan mutawwif
KAJANG – Pertambahan berganda jemaah haji dan umrah pada setiap tahun menyaksikan permintaan yang tinggi kepada golongan mutawwif dan mutawwifah oleh syarikat-syarikat pengendali pakej ke Tanah Suci.
Menyedari kekurangan bekalan tenaga kerja dalam bidang itu, Professional Mutawwif Development Sdn. Bhd (PMD) menawarkan program persijilan mutawwif profesional kepada mereka yang berminat untuk menceburi bidang itu.
Pengarah Urusannya, Abd Halim Ikhsan berkata, PMD melalui Professional Mutawwif Development International College (PMDIC) menawarkan program Diploma Kemahiran Pengurusan Mutawwif Umrah Dan Ziarah kepada mereka yang mahu menceburi bidang itu.
Selain peluang kerap berkunjung ke Tanah Suci, kerjaya sebagai pengiring dan pembimbing para jemaah itu juga menawarkan ganjaran gaji yang setimpal sehingga mencecah lima angka.
Dalam memperluaskan lagi program pentauliahan mutawwif dan mutawwifah profesional, PMD baru-baru ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan agensi pelancongan dari Indoensia, MM Mubarok.
Melalui kerjasama itu, Abd Halim mensasarkan kemasukan 100 pelajar dari Indonesia pada semester baharu yang akan bermula pada hujung tahun ini.
Selain pelajar dari Indonesia, PMD juga bakal menerima 20 pelajar dari Singapura melalui kerjasama dengan syarikat pengendali haji dan umrah dari negara itu.
“Pengambilan pelajar dari luar negara ini diharap menjadi pencetus kepada pemantapan program persijilan mutawwif yang diiktiraf di rantau ini atau mungkin ke peringkat antarabangsa.
“Hasrat kita adalah untuk melahirkan para mutawwif yang profesional dalam pengurusan dan pengendalian jemaah haji baik dari segi pengetahuan dan juga layanan.
“Dengan kemudahan institusi pendidikan yang ada di negera ini juga, kita yakin program ini akan dapat diperluaskan lagi malah berpotensi menjadikan Malaysia hab pentauliahan di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani MoU antara PMD dengan MM Mubarok. Turut hadir Pengarah Utama, MM Mubarok, Iqbal Iskandar Muda.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berharap dengan kerjasama dengan syarikat dari luar negara buat pertama kali sejak penubuhan pada 2019 dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak.
“Kami berharap ikatan jalinan seumpama ini dapat dijadikan contoh bagi kedua-dua negara dalam memperkasakan professionaliti mutawwif dunia.
“Oleh itu, segala sokongan dan komitmen daripada semua pihak yang terlibat amat dialu-alukan agar kerjasama ini terus kekal erat dan teguh serta berterusan,” katanya.
Antara kerjasama PMD termasuk dengan Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Mara (UiTM) melibatkan cawangan Samarahan, Lendu, Mukah, Permatang Pauh dan Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Sehingga kini katanya, PMDIC mempunyai 1,000 pelajar yang mana 140 pelajar telah berjaya menamatkan pengajian kursus dengan 100 peratus daripadanya telah mendapat pekerjaan.
“Dalam tempoh beberapa bulan yang akan datang, PMDIC akan mula beroperasi di Universiti Malaysia Sabah dan juga Universiti Malaya,” katanya.
Tambahnya, semua modul PMDIC telah mendapat pentauliahan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dengan yuran pengajian dikendalikan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran.
“Program ini boleh dimohon oleh lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau lebih tinggi tanpa asas atau syarat khusus dalam bidang agama,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






