
Malaysia bawa suara bersama ASEAN dalam Isu tarif AS
KUALA LUMPUR – Malaysia terus memainkan peranan aktif selaku Pengerusi ASEAN dengan mengetengahkan suara anggotanya dalam rundingan tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dimaklumkan dalam satu panggilan telefon hari ini bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
“Saya maklumkan bahawa Malaysia melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah mengadakan perbincangan secara langsung dengan pihak AS baru-baru ini.
“Selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia turut membawa suara kolektif rantau ini, khususnya membuka ruang rundingan buat semua negara anggota,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ASEAN perlu sepakat dalam bertindak bagi memperkukuh kedudukan bersama serta melindungi kepentingan jangka panjang di rantau Asia Tenggara.
Dalam panggilan telefon itu, Perdana Menteri turut memaklumkan hasil pertemuan beliau dengan Jeneral Kanan Min Aung Hlaing daripada Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar serta U Mahn Win Khaing Than yang mewakili Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) di Bangkok baru-baru ini.
Sementara itu, Anwar berkata, Brunei, Laos dan Indonesia menyatakan sokongan terhadap usaha Malaysia untuk menggalakkan dialog konstruktif demi kestabilan Myanmar dan keamanan seluruh ASEAN.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |