Automatif & TeknologiBerita Semasa

Malaysia anjur Cyber Games 2025, himpun pakar forensik digital dunia

KUALA LUMPUR – Malaysia bakal menganjurkan Cyber Games 2025 yang akan menghimpunkan lebih 120 peserta terdiri daripada penyiasat jenayah siber dan pakar forensik digital dari 40 negara pada 20 hingga 23 Mei depan.

Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, pertandingan yang pertama kali dianjurkan di peringkat global itu merupakan kerjasama Malaysia, Council of Europe dan Interpol, sebelum diteruskan di rantau Eropah dan Afrika.

“Pertandingan itu akan dianjurkan dengan konsep dan semangat yang sama seperti Interpol Digital Security Challenge yang berlangsung sejak 2016, tetapi pada skala lebih besar.

“Lokasi penganjuran masih dalam perbincangan sama ada di Kuala Lumpur atau Putrajaya,” katanya memetik laporan The Star online.

Menurutnya, Cyber Games 2025 bukan sekadar medan ujian kepakaran, tetapi juga platform untuk memperkukuh pemahaman mengenai ancaman siber yang semakin kompleks serta strategi terbaik dalam menanganinya.

Dalam perkembangan sama, Malaysia turut dipilih sebagai tuan rumah Persidangan Jenayah Siber ASEAN 2025, yang dijadual berlangsung pada 19 Mei depan, sempena Kepengerusian ASEAN 2025.

Persidangan itu akan menumpukan kepada serangan perisian tebusan (ransomware) dan penyiasatan kripto, selain bakal disertai pegawai kerajaan, agensi penguatkuasaan, pakar keselamatan siber dan forensik digital, penyedia teknologi keselamatan serta organisasi antarabangsa seperti Interpol.

“NACSA akan bekerjasama dengan Council of Europe dan Interpol bagi memastikan persiapan rapi agar persidangan ini berjaya mencapai objektif serta menjadi penanda aras untuk tahun-tahun berikutnya,” katanya lagi.

Terdahulu, Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah mengesahkan Malaysia bersetuju menganjurkan Cyber Games 2025 dan Persidangan Jenayah Siber ASEAN dengan kerjasama NACSA, Interpol dan Council of Europe pada Mei depan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button