Berita SemasaDalam Negeri

Malaysia ambil langkah proaktif hadapi kesan kejatuhan pasaran global

PUTRAJAYA – Kerajaan akan mengambil langkah proaktif dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global susulan kejatuhan mendadak pasaran saham dan komoditi di Amerika Syarikat (AS).

Anwar berkata, Malaysia perlu bersiap siaga dan memperkukuh kedudukan ekonomi bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang tidak diingini ekoran perkembangan ekonomi dunia ketika ini.

Beliau mengingatkan bahawa situasi pasaran global yang tidak stabil, termasuk kemerosotan bursa dan kehilangan nilai pasaran dianggarkan mencecah USD4 trilion di AS, boleh memberi kesan langsung kepada ekonomi terbuka seperti Malaysia.

“Keadaan semasa sangat rapuh. Kita tidak boleh ambil mudah. Kita perlu lebih kuat dan bersedia menghadapi sebarang cabaran,” katanya dalam ucapan Majlis Perjumpaan YAB Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi menangani situasi itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz akan menyelaraskan satu pertemuan bersama menteri-menteri berkaitan pada Khamis ini.

Pertemuan tersebut bertujuan merangka pendirian bersama negara dalam isu perdagangan dan ekonomi, khususnya yang berkait dengan dasar tarif timbal balas AS dan hubungan dagang antarabangsa.

Meskipun berdepan tekanan luaran, Perdana Menteri menegaskan bahawa asas ekonomi negara kekal kukuh.

Katanya, Malaysia mencatatkan prestasi memberangsangkan dalam sektor eksport semikonduktor, dengan nilai penghantaran ke AS sahaja mencecah RM420 bilion – bersamaan 65 peratus daripada jumlah pengeluaran semikonduktor negara.

“Hubungan dagang dengan AS kekal sebagai antara yang tertinggi, bersaing rapat dengan China.

“Tambahan pula, pelaburan strategik dari syarikat Jerman seperti Infineon Technologies menandakan keyakinan berterusan terhadap ekosistem industri Malaysia,” katanya.

Namun begitu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengingatkan bahawa kerajaan perlu mempertimbangkan pelbagai kemungkinan agar sebarang perkembangan global tidak menjejaskan rakyat, terutamanya dari sudut keselamatan pekerjaan.

Langkah segera kerajaan itu dilihat sebagai usaha memastikan kestabilan ekonomi domestik dan kelangsungan rakyat dalam menghadapi tekanan ekonomi global yang semakin mencabar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button