
Majlis Ulama UMNO tegaskan pentingnya undang-undang Syariah terus diperkasa
KUALA LUMPUR – Majlis Ulama UMNO menegaskan pentingnya undang-undang Syariah termasuk kesalahan jenayah Syariah sentiasa diperkasa dalam negara sesuai dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan.
Kenyataan tersebut timbul selepas Mahkamah Persekutuan hari ini, dalam keputusan majoriti 8-1 membenarkan petisyen yang dikemukakan oleh seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahmanndalam untuk membatalkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Jelas Majlis Ulama UMNO, keputusan tersebut turut boleh memberi kesan kepada enakmen kesalahan Syariah di negeri-negeri lain termasuk Wilayah Persekutuan.
“Alasannya ialah Dewan Undangan Negeri tidak mempunyai kuasa menggubal enakmen yang bercanggah dengan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
“Isunya adalah tentang bidang kuasa yang ada pada negeri untuk menggubal enakmen pada perkara yang tersenarai sebagai bidang kuasa Persekutuan. Ia adalah pertembungan bidang kuasa Negeri dan Persekutuan sebagaimana peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Justeru, Majlis Ulama UMNO akan bersidang pada 15 Februari ini dalam usaha untuk memperkasa undang-undang syariah di negara ini, sekali gus menyentuh mengenai cadangan yang bakal dikemukan kepada Kerajaan Persekutuan bagi menangani isu tersebut.
“Dua tokoh akademik undang-undang Islam akan dijemput untuk membentangkan kertas kerja sebagai panduan kepada Majlis Ulama UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






