
Majlis perhimpunan bulanan KPM diimarah sambutan World #QuranHour
PUTRAJAYA – Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) semalam diimarahkan dengan sambutan program World #QuranHour Tahun 2025 yang berlangsung di Auditorium Kompleks E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini.
Majlis itu bukan sahaja bertujuan menyampaikan amanat kepimpinan kementerian, tetapi juga memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan warga pendidikan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam ucapannya menekankan kepentingan mengambil ibrah daripada bulan Ramadan serta meneruskan usaha berterusan KPM untuk mereformasikan sistem pendidikan negara.

“Alhamdulillah. Selesai acara World Quran Hour dengan pedoman Surah Al-Saff yang benar-benar memaknai seluruh kerja berpasukan di peringkat KPM.
“Sesi tadabbur dengan pedoman para asatizah yang merangkul makna tadabbur yang jelas dan pensejajaran jiwa yang segar,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Tambah beliau, majlis itu turut diselitkan dengan persembahan Hiwar dan Bicara Irama anak-anak yang sangat menghiburkan.
“Bahasa Arab yang fasih, lancar dan ternyata ia bukanlah bahasa yang sukar dikuasai oleh anak-anak kita.
“Begitulah kekuatan mukjizat Al-Quran yang diturunkan sebagai petunjuk kepada manusia serta jelas membezakan antara yang haq dan batil.
“Komitmen kerajaan Madani adalah untuk terus memartabatkan syiar Islam dan meneguhkan pendidikan Islam dalam kalangan pelajar Islam,” ujarnya.
Selain itu, Fadhlina turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga Kementerian yang telah menjayakan program Jaulah Ramadan KPM.
Program itu dilaksanakan di institusi pendidikan seluruh negara dengan objektif meningkatkan penghayatan Ramadan dan menyemarakkan syiar Islam dalam kalangan warga kementerian serta pelajar.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Ketua Setiausaha KPM, Datuk Dr. Aminuddin Hassim; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Azman Adnan serta pegawai-pegawai kanan KPM.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |