
Majlis Perbandaran Manjung gempur pantai Teluk Senangin, sita aktiviti sewaan tanpa kebenaran
MANJUNG – Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung melancarkan operasi penguatkuasaan di Pantai Teluk Senangin berikutan aduan awam mengenai aktiviti penyewaan kerusi pelampung yang dijalankan tanpa kebenaran di sini hari ini.
Menurutnya dalam satu kenyataan, walaupun aktiviti penyewaan kerusi pelampung dibenarkan di kawasan tersebut, pengusaha wajib mematuhi Syarat Pelesenan MPM yang sedang berkuat kuasa.
“Antara syarat utama termasuk menyimpan peralatan selepas tempoh sewaan tamat dan tidak meletakkan kelengkapan sebelum sewaan dibuat.
“Selain itu, pengusaha dilarang mengutip bayaran untuk sewaan peralatan lain atau penggunaan tapak yang tidak berkaitan dengan aktiviti tersebut,” katanya hari ini.
Dalam pada itu katanya, setakat ini, sebanyak 10 permit telah dikeluarkan kepada pengusaha yang memenuhi syarat.

Namun jelasnya, hanya tiga pengusaha masih aktif beroperasi, manakala tujuh lagi tidak menunjukkan sebarang aktiviti.
“Dalam operasi terkini, pihak berkuasa telah menyita pelbagai peralatan termasuk kerusi, meja, khemah, dan pelampung yang digunakan oleh pengusaha tanpa lesen atau kebenaran sah daripada Yang Dipertua MPM.
“Sebanyak enam sitaan telah dilaksanakan di sepanjang Pantai Teluk Senangin, melibatkan 220 kerusi, 19 meja kayu, sebuah meja besi, sebuah payung, 25 pelampung dan tiga khemah.
“Tindakan ini diambil berdasarkan Seksyen 46(1)(d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang melarang sebarang bentuk halangan di kawasan awam.
“Semua peralatan yang disita telah dibawa ke Depoh Simpanan Sementara MPM untuk proses pengurusan selanjutnya mengikut prosedur undang-undang,” katanya.

Semalam tular satu video yang menunjukkan pelancong yang berkunjung ke pusat peranginan itu terpaksa menyewa kerusi dan meja daripada pengusaha terlibat.
Keadaan tersebut menimbulkan ketidakpuasan hati pengunjung yang hendak berkelah kerana kawasan terbabit dipenuhi kerusi pengusaha sehingga tiada tempat untuk meletakkan barangan peribadi lain.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |