Berita Semasa

Majlis Khatam Al-Quran Wanita Selangor 2025 perkukuh peranan muslimah

SHAH ALAM – Lebih 700 peserta terdiri daripada pelbagai agensi Kerajaan Negeri Selangor dan Persekutuan, sektor swasta, Pusat Wanita Berdaya (PWB) serta wakil badan bukan kerajaan (NGO) hadir pada Majlis Khatam Al-Quran Wanita Negeri Selangor 2025 yang diadakan di Dewan Banquet , Bagunan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, hari ini.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata, majlis tersebut bukan sekadar acara simbolik tetapi satu usaha memperkukuh peranan Al-Quran dalam kehidupan seharian.

“Kita telah menyaksikan bacaan Al-Quran secara bertadarrus beramai-ramai dan bersama-sama khatamkan 30 juzuk Al-Quran. Alhamdulillah, semoga Allah menerima amalan baik kita semua,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa usaha ini sejajar dengan agenda Kerajaan Negeri Selangor yang menitikberatkan pembangunan modal insan holistik berasaskan kepercayaan kepada Tuhan serta aqidah yang kukuh.

“Di era digital yang mencabar ini, terlalu banyak pancingan dan godaan yang melalaikan. Mendidik anak dan menjaga keutuhan keluarga memerlukan kekuatan rohani dan bimbingan Al-Quran.

“Wanita adalah benteng utama dalam memastikan keluarga berpegang teguh kepada ajaran Islam,” ujarnya.

Anfaal turut menekankan bahawa Al-Quran tidak pernah mengajar wanita bersikap pasif, malah mengangkat wanita sebagai individu berperanan aktif dalam menegakkan kebenaran.

“Allah SWT mengabadikan kisah Asiah, isteri Firaun, yang menentang kezaliman dan Asma’ binti Abu Bakar RA yang teguh mempertahankan kebenaran.

“Kisah-kisah ini menjadi inspirasi buat wanita muslimah untuk berperanan dalam membentuk masyarakat,” katanya.

Beliau berharap agar majlis itu menjadi tradisi tahunan yang bukan sahaja meraikan kejayaan mengkhatamkan Al-Quran tetapi turut memperkukuh ukhuwah dan memperkasa peranan wanita dalam menyebarkan syiar Islam.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan majlis ini, khususnya Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), serta seluruh pihak yang terlibat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button