BERITA SEMASA

Majlis Benih Negara tumpu usaha capai kemandirian benih tempatan

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Benih Negara yang diadakan semalam telah memutuskan penubuhan Majlis Penasihat yang terdiri daripada pelbagai pakar sebagai langkah strategik untuk memperkukuh keterjaminan bekalan benih negara.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu turut memberi mandat kepada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk menjadi peneraju dalam Hab Benih Negara.

Antara inisiatif lain yang diumumkan termasuk pembangunan keturunan tulen ayam pedaging dan penelur tempatan serta pengkomersialan baka Ayam Saga.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook semalam, Mohamad Sabu menjelaskan Malaysia masih bergantung hampir sepenuhnya kepada benih import termasuk 90 peratus benih sayur dan tembikai yang bernilai RM2.7 juta.

“Ini adalah cabaran besar yang perlu kita hadapi bersama demi masa depan keterjaminan makanan negara,” ujarnya.

Beliau menekankan Agenda Keterjaminan Benih Negara bukan hanya penting untuk industri agromakanan, tetapi juga merupakan teras utama kepada kedaulatan dan keselamatan negara.

“Kita perlu menghasilkan benih tempatan yang berkualiti, tahan lasak dan mampu memenuhi keperluan rakyat,” katanya.

Mohamad Sabu juga optimis pelaksanaan agenda itu akan membawa Malaysia ke arah kemandirian dalam sektor benih tempatan.

“Ini bukan sekadar isu pertanian. Ini soal kedaulatan dan masa depan negara,” tegas beliau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button