BERITA SEMASA

Majikan wajib setem kontrak penggajian mulai 1 Januari 2026 – LHDN

Cyberjaya – Bermula 1 Januari 2026, Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS) akan dilaksanakan secara berfasa sebagaimana diumumkan menerusi Belanjawan 2025.

Selaras dengan pelaksanaan sistem baharu itu, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) telah memperkenalkan Rangka Kerja Audit Duti Setem (RKADS) pada 1 Januari 2025 bagi memperincikan pelaksanaan audit duti setem secara menyeluruh di seluruh negara.

Katanya dalam satu kenyataan hari ini, pelaksanaan audit tersebut telah mendedahkan kegagalan sebilangan besar majikan untuk menyetem dokumen kontrak penggajian seperti yang ditetapkan di bawah undang-undang.

“Antara penemuan utama dalam audit ialah dokumen kontrak penggajian tidak disetem mengikut peruntukan di bawah Item 4, Jadual Pertama, Akta Setem 1949,” katanya.

Menurut LHDN, di bawah peruntukan tersebut, setiap kontrak penggajian wajib dikenakan duti setem sebanyak RM10.00.

Mengambil kira jumlah kontrak penggajian yang tinggi serta penemuan ini merupakan hasil audit yang baharu, Kementerian Kewangan memutuskan untuk memberi kelonggaran kepada majikan bagi tujuan pematuhan.

“Kerajaan memahami beban yang mungkin dihadapi oleh majikan dalam isu ini. Oleh itu, pengecualian dan peremitan duti setem serta penalti telah ditetapkan mengikut tempoh dokumen tersebut dimuktamadkan,” menurut kenyataan itu.

Bagi kontrak penggajian yang dimuktamadkan sebelum 1 Januari 2025, pengecualian duti setem diberikan berdasarkan kuasa Menteri Kewangan di bawah subseksyen 80(1A) Akta Setem 1949. Penalti lewat penyeteman turut dikecualikan berdasarkan kuasa Pemungut Duti Setem di bawah subseksyen 47A(2) akta sama.

“Kontrak yang dimuktamadkan dalam tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2025 masih tertakluk kepada duti setem, namun penalti lewat penyeteman akan dimeremitkan jika disetemkan selewat-lewatnya pada atau sebelum 31 Disember 2025,” katanya lagi.

Bagi kontrak penggajian yang dimuktamadkan mulai 1 Januari 2026 pula, dokumen tersebut akan dikenakan duti setem dan penalti sewajarnya sekiranya berlaku kelewatan dalam penyeteman.

Sehubungan itu, semua majikan digesa menyemak dan mengemas kini dokumen kontrak penggajian masing-masing bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan penyeteman seperti yang termaktub dalam Akta Setem 1949.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan kepada LHDN melalui LHDN Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 (dalam negara) atau ‪+603-8911 1000‬ (luar negara), LHDN Live Chat, atau melalui Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDN di pautan https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button