BERITA SEMASADALAM NEGERI

MAIWP agih RM1.1 Juta wang zakat kepada 5,500 penerima

PUTRAJAYA – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan RM1.1 juta wang zakat kepada 5,500 penerima melalui Program Nur Ramadan peringkat Putrajaya tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa ketika merasmikan program tersebut menzahirkan penghargaan kepada MAIWP dan hampir dua juta pembayar zakat di Wilayah Persekutuan yang menyumbang kepada kutipan itu.

Dr. Zaliha Mustafa menyerahkan sumbangan kepada golongan asnaf pada Program Nur Ramadan peringkat Putrajaya majlis di Putrajaya hari ini.

“Zakat bukan sekadar ibadah, tetapi manifestasi keadilan sosial yang membantu merapatkan jurang antara golongan miskin dan kaya.

“Daripada jumlah itu, seramai 700 penerima di Putrajaya turut menerima manfaat,” katanya dalam ucapan perasmian Program Nur Ramadan peringkat Putrajaya di sini hari ini.

Dr Zaliha turut menekankan bahawa konsep keprihatinan terhadap golongan memerlukan selaras dengan ajaran Islam yang menitikberatkan ukhuwah dan kesejahteraan sosial.

“Inilah semangat kebersamaan yang menjadi asas kepada kesejahteraan sosial dalam Islam.

“Jika ada yang masih bergelut dengan kemiskinan bandar, kita bertanggungjawab untuk memberi mereka peluang dan keupayaan untuk bangkit,” tambahnya.

Selain itu, Dr. Zaliha turut memaklumkan bahawa Kerajaan melalui Jabatan Wilayah Persekutuan akan meneruskan Program Usaha Jaya Insan (PUJI) bagi memastikan keadilan sosial terus ditegakkan, termasuk melalui inisiatif Ihsan@PUJI yang memastikan setiap sen wang zakat sampai kepada golongan memerlukan.

Dalam kesempatan itu, beliau turut menyeru masyarakat untuk menjadikan Ramadan sebagai bulan meningkatkan amal kebajikan dan memperkukuh nilai ihsan.

“Semangat kebajikan ini tidak boleh terhenti sekadar dalam bulan Ramadan, tetapi perlu diamalkan sepanjang masa,” katanya.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button