
Mahkamah Tinggi tolak permohonan Anwar rujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, termasuk isu sama ada seorang perdana menteri menikmati imuniti daripada tindakan saman sivil.
Permohonan itu berkait dengan saman sivil yang difailkan oleh bekas penyelidik beliau, Muhammed Yusoff Rawther, berhubung dakwaan serangan seksual yang didakwa berlaku tujuh tahun lalu sebelum Anwar memegang jawatan perdana menteri.
Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan tersebut selepas mendapati persoalan undang-undang yang dikemukakan tidak mencapai tahap kontroversi perlembagaan yang mewajarkan rujukan kepada Mahkamah Persekutuan.
Menurut permohonan yang difailkan melalui firma guaman baharu, Tetuan Zain Megat & Murad, pada 23 Mei lalu, Anwar memohon Mahkamah Persekutuan menilai sama ada berdasarkan Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang perdana menteri mempunyai kekebalan terhad daripada tindakan undang-undang sivil berkaitan perlakuan peribadi sebelum pelantikan ke jawatan tersebut.
Anwar turut memohon mahkamah mempertimbangkan sama ada saman itu akan menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas eksekutif sebagai ketua kerajaan dan sama ada ia bercanggah dengan prinsip pengasingan kuasa yang termaktub dalam perlembagaan.
Dalam permohonannya, Anwar juga berhujah bahawa prosiding saman berkenaan boleh melanggar haknya untuk dilayan sama rata di sisi undang-undang seperti yang dijamin di bawah Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan dan mendakwa bahawa saman tersebut adalah satu bentuk penyalahgunaan proses mahkamah.
Dengan keputusan hari ini, prosiding saman sivil yang difailkan oleh Muhammed Yusoff akan diteruskan di Mahkamah Tinggi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |