BERITA SEMASA

Mahkamah perintah PDRM, kerajaan bayar ganti rugi RM3 juta kepada isteri Amri, kes diklasifikasi culik

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi memerintahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia membayar ganti rugi berjumlah RM3 juta kepada isteri Amri Che Mat, selepas memutuskan kedua-dua pihak itu bertanggungjawab ke atas kehilangan aktivis berkenaan.

Hakim Datuk Su Tiang Joo turut mengarahkan PDRM membuka semula siasatan kehilangan Amri bermula hari ini dan melaporkan perkembangan kepada Peguam Negara setiap dua bulan.

Beliau memutuskan demikian selepas membenarkan saman isteri Amri, Noorhayati Mohd Ariffin apabila mendapati plaintif berjaya membuktikan kesnya berdasarkan kepada prinsip imbangan kebarangkalian.

Melalui penghakiman yang dibacakan selama hampir dua jam itu, Tiang Joo berkata, pihak berkuasa juga telah melanggar hak Noorhayati untuk hidup seperti yang dilindungi di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan apabila defendan gagal menjalankan siasatan sewajarnya terhadap kehilangan Amri.

“Saya mendapati terdapat kekurangan usaha untuk memastikan keluarga Amri dimaklumkan mengenai perkembagan kehilangannya dan pengkelasan kehilangan Amri juga salah kerana sepatutnya ia diklasifikasikan sebagai penculikan dan bukannya orang hilang,” katanya memetik laporan BH Online, malam tadi.

Tiang Joo memerintahkan jumlah ganti rugi meliputi ganti rugi am dan teruk sebanyak RM2 juta, ganti rugi teladan RM1 juta dan ganti rugi khas sebanyak RM14,457.52 dibayar kepada Noorhayati dalam kes saman difailkan pada 18 November 2019.

Norhayati memfailkan saman itu bagi mendapatkan maklumat tentang nasib suaminya dan menuntut pampasan, berdasarkan dapatan laporan pasukan Petugas Khas.

Plaintif memfailkan saman terhadap kerajaan, PDRM dan empat yang lain dan menuntut ganti rugi teruk serta teladan atas kerugian yang dialaminya akibat kehilangan Amri pada tahun 2016 .

Beliau pada mulanya memfailkan saman terhadap 21 defendan, bagaimanapun menggugurkan saman terhadap 15 individu, termasuk Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Dalam Negeri antara 16 Mei 2013 hingga 9 Mei 2018.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) membuat kesimpulan bahawa polis Cawangan Khas bertanggungjawab terhadap kehilangan secara paksa Amri dan seorang lagi individu, Pastor Raymond Koh Keng Joo.

Kesimpulan itu dibuat hasil inkuiri awam terhadap kehilangan dua individu berkenaan yang bermula pada Oktober 2017.

Sebelum ini Norhayati dipetik berkata, ada saksi ternampak lima kenderaan menghalang laluan kereta Amri, sebelum dia dibawa pergi, kira-kira 550 meter dari rumah mereka di Bukit Chabang, Perlis.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button