
MAG bakal miliki 30 pesawat Boeing 737 menjelang 2030
PUTRAJAYA – Malaysia terus memperkukuhkan kedudukan sebagai pemain utama dalam industri penerbangan global berikutan pengumuman tempahan 30 pesawat Boeing baharu oleh Malaysia Aviation Group (MAG), di sini hari ini.
Majlis Pertukaran Dokumen bagi Tempahan Penggantian Pesawat Badan Sempit antara MAG dan Boeing yang berlangsung di Hotel Le Meridien itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, langkah itu bertujuan untuk memperkukuh armada syarikat penerbangan nasional serta meningkatkan daya saingnya di peringkat global.

“Tempahan pesawat yang signifikan oleh MAG ini adalah satu pelaburan yang mengukuhkan komitmennya terhadap pertumbuhan dan daya tahan berterusan. Perkara ini juga memperkukuh keterhubungan Malaysia dengan dunia.
“Peristiwa penting ini bukan sekadar pemodenan armada tetapi juga memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri penerbangan global serta memperkukuh asas ekonomi kita dalam dunia yang semakin kompetitif,” katanya.
Tempahan 30 pesawat baharu itu merangkumi 18 pesawat Boeing 737-8 dan 12 pesawat Boeing 737-10 yang dikuasakan oleh enjin CFM International LEAP-1B dengan pilihan untuk menambah 30 lagi pesawat Boeing 737 pada masa hadapan. Kesemua pesawat itu akan diperoleh sepenuhnya menjelang 2030.
Menurut beliau, sektor penerbangan sentiasa menjadi pemacu kemajuan ekonomi, membuka pintu kepada perdagangan, pelancongan dan peluang baharu.
“Selama beberapa dekad, syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines lebih daripada sekadar sebuah syarikat penerbangan – ia adalah ikon negara yang membawa bendera dan semangat kita ke seluruh dunia,” kata beliau.
Anwar turut melahirkan rasa gembiranya apabila melihat hubungan jangka panjang antara Malaysia Airlines dan Boeing yang telah terjalin selama 57 tahun.

“Sejak penggunaan pesawat Boeing 707 pada tahun 1968, saya percaya Boeing dan GE Aerospace akan melihat kerjasama ini sebagai peluang berharga untuk memperkukuh kehadiran mereka di Malaysia sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan dan kemajuan teknologi negara.
Tambah beliau, tahun ini juga menyaksikan pemulihan sepenuhnya industri penerbangan serantau, dengan semua rantau mencatatkan prestasi lebih baik berbanding tahap sebelum pandemik.
“Syarikat penerbangan Asia Pasifik muncul sebagai peneraju utama dalam pertumbuhan tahunan dengan peningkatan 16.9 peratus tahun ke tahun dalam hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK).
“Ini membuktikan daya tahan sektor penerbangan Malaysia, bukan sahaja dalam aspek pemulihan, tetapi juga dalam meletakkan asas kukuh untuk pertumbuhan serta pengembangan berterusan,” ujarnya.
Menurut Anwar lagi, dengan kedudukan strategik Malaysia di tengah-tengah ASEAN, ia adalah pintu masuk ke Asia dan dunia.
“Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, kita bertekad untuk membangunkan ekonomi bernilai tinggi yang mampan, menyokong inovasi, menarik pelaburan serta mengangkat kedudukan negara di peringkat global,” katanya.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail dan Presiden Boeing Global, Dr. Brendan Nelson.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |