
Macron: Perancis bakal iktiraf Palestin dalam masa terdekat
ISTANBUL – Presiden Perancis, Emmanuel Macron menyatakan bahawa negaranya akan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Perkara itu dinyatakan beliau dalam satu wawancara semalam.
Pengiktirafan itu berkemungkinan dimuktamadkan semasa persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai konflik Israel-Palestin yang dianjurkan Perancis dan Arab Saudi pada Jun depan.
“Kita mesti bergerak ke arah pengiktirafan dan kita akan lakukannya dalam beberapa bulan akan datang,” katanya memetik Awani Online.
Menurut Macron, langkah tersebut bukan untuk mengambil hati mana-mana pihak, sebaliknya atas dasar prinsip.
“Saya tidak melakukannya untuk menyenangkan sesiapa. Saya akan lakukannya kerana pada suatu ketika ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan,” tegas beliau.
Mengulas kenyataan itu, Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar Palestin, Varsen Aghabekian Shahin menyambut baik pendirian Macron dan menyifatkan ia sebagai langkah yang betul, sejajar dengan usaha mempertahankan hak rakyat Palestin dan penyelesaian dua negara.
Kenyataan Macron hadir ketika desakan antarabangsa semakin meningkat bagi menamatkan konflik berdarah di Gaza, yang telah meragut lebih 50,000 nyawa sejak Oktober 2023 ekoran tindakan ketenteraan Israel.
Pada Februari lalu, Macron turut menyatakan bahawa pengiktirafan terhadap negara Palestin bukan satu ‘tabu’ bagi Perancis dan menyifatkan ia sebagai keperluan moral serta politik.
“Kita berhutang kepada rakyat Palestin yang cita-cita mereka telah diinjak terlalu lama.
“Kita berhutang kepada rakyat Israel yang menjadi mangsa pembunuhan anti-Semit paling dahsyat dalam abad ini.
“Kita berhutang kepada sebuah rantau yang mengimpikan keamanan,” katanya lagi.
Setakat ini, 147 daripada 193 negara anggota PBB telah mengiktiraf negara Palestin secara rasmi.
Pada Mei lalu, Sepanyol, Ireland dan Norway turut mengiktiraf Palestin, menjadikan jumlah negara Kesatuan Eropah (EU) yang berbuat demikian kini meningkat kepada 10 buah negara.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |