BERITA SEMASALUAR NEGARA

Pemandu wanita terjatuh ke dalam lubang benam di Singapura

SINGAPURA – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandunya terjunam ke dalam sebuah lubang benam yang dipenuhi air di Jalan Tanjong Katong, semalam.

Menurut kenyataan Agensi Air Singapura (PUB) di Facebook, mangsa berjaya diselamatkan oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan berada dalam keadaan sedar semasa kejadian.

Sebuah rakaman video yang tular di media sosial memaparkan keadaan kereta tersebut yang hampir tenggelam sepenuhnya dalam lubang berkenaan.

PUB memaklumkan, kejadian berlaku sekitar pukul 5 petang berdekatan dengan tapak kerja milik agensi itu dan melibatkan dua lorong jalan.

“Pihak polis, SCDF dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berada di lokasi kejadian bagi mengawal keadaan,” jelas agensi itu dalam kenyataan.

Dalam pada itu, PUB turut mengesahkan dua saluran paip utama air rosak akibat kejadian berkenaan dan kerja-kerja pengasingan saluran yang terjejas sedang dilaksanakan.

Sementara itu, LTA dalam kenyataan berasingan memaklumkan semua laluan dari kedua-dua arah ditutup sebagai langkah keselamatan sementara siasatan lanjut dijalankan.

“Kontraktor kami sedang berada di lokasi bagi membantu kerja-kerja pembaikan jalan,” ujar kenyataan itu sambil menasihatkan pengguna jalan raya supaya menggunakan laluan alternatif buat sementara waktu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button