
LTAT umum dividen 5.25 peratus, liputi pembayaran RM514.2 juta
KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hari ini mengisytiharkan kadar dividen 5.25 peratus dengan jumlah pembayaran sebanyak RM514.2 juta bagi tahun 2024, iaitu agihan dividen tertinggi dalam tujuh tahun kebelakang.
Ia menyaksikan peningkatan bonus dividen sebanyak 0.25 peratus berbanding tahun sebelum ini dengan jumlah agihan pembayaran meningkat berbanding RM485.08 juta pada tahun 2023.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, prestasi kewangan LTAT bagi tahun 2024 terus menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.
Menurut beliau, bagi tahun kewangan 2024, LTAT telah mencapai pencapaian luar biasa dengan merekodkan pendapatan belum diaudit melebihi RM752 juta dan keuntungan bersih melebihi RM587 juta.
“Lebih membanggakan, rizab LTAT terus mengukuh kepada RM1 bilion menjelang akhir tahun 2024, hasil daripada pertumbuhan keuntungan tahunan yang kukuh serta usaha berterusan dalam mengurangkan kerugian daripada portfolio pelaburan legasi.
“Angka-angka ini bukan sahaja mengatasi rekod tahun sebelumnya, tetapi juga membuktikan keupayaan LTAT untuk terus berkembang teguh dan meningkatkan semula kedudukan kewangannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Dividen LTAT 2024 yang turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar.
Hadir sama, Pengerusi LTAT, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin TUDM (Bersara) dan Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi.
Sebagai rekod, agihan pada tahun ini memberi manfaat kepada 125,014 pencarum, yang terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, kejayaan transformasi LTAT tahun ini menyakasikan kadar dividen yang mampan dan lebih kompetitif, mencerminkan kestabilan serta keupayaan LTATA untuk terus berkembang demi kesejahteraan pencarum.
Ujar beliau, pengumuman dividen itu bukan sekadar angka, tetapi satu simbol kepercayaan dan keyakinan Kementerian Pertahanan terhadap hala tuju LTAT.
“Ia adalah bukti bahawa setiap usaha yang telah dilaksanakan oleh LTAT memberikan impak nyata kepada para pencarum,” katanya sambil menzahirkan keyakinan pengumuman hari ini akan menggembirakan pencarum dan memberi keyakinan bahawa simpanan persaraan mereka selamat.
Pada masa yang sama, Mohamed Khaled, pihaknya akan terus mengukuhkan peranan LTAT sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi, sekali gus memperluaskan sumbangan dalam sektor-sektor bernilai tambah tinggi yang memberi manfaat besar kepada pencarum dan negara.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |