LSH Service pastikan pengurusan Kuala Lumpur Tower kekal berkualiti sepanjang tempoh konsesi
KUALA LUMPUR – LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM) memberi jaminan penuh terhadap kualiti pengurusan dan penyelenggaraan asas Kuala Lumpur Tower sepanjang tempoh konsesi 20 tahun yang diberikan kerajaan.
Ketua Pegawai Eksekutif LSHSM, Khairil Faizal Othman berkata, pihaknya menumpukan perhatian terhadap operasi dan penyelenggaraan fasiliti bangunan ikonik tersebut, sejajar dengan perjanjian konsesi yang dimeterai bersama Kementerian Komunikasi, selaku pemilik Kuala Lumpur Tower.
“Kami berpegang kepada prinsip bahawa penjagaan asas adalah keutamaan sebelum melangkah kepada perancangan lebih besar. Sekiranya asas penyelenggaraan ini dijaga dengan rapi, insya-Allah, perancangan lain dapat dilaksanakan dengan lebih teratur,” ujarnya dalam sidang media sempena pembukaan semula Kuala Lumpur Tower hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Bukan Eksekutif Lim Seong Hai Capital Bhd (LSH Capital), Tan Sri Lim Keng Cheng menegaskan komitmen syarikat untuk menyerahkan semula Kuala Lumpur Tower kepada kerajaan dalam keadaan lebih baik selepas tamatnya tempoh konsesi kelak.
“Saya sering ingatkan Encik Khairil Faizal, selepas 20 tahun, kita mesti kembalikan Kuala Lumpur Tower dalam keadaan yang lebih baik berbanding hari ini, meskipun usia bangunan semakin bertambah,” katanya.
Beliau menambah bahawa sejarah projek pembangunan Putrajaya membuktikan bahawa usia sesebuah bangunan bukanlah penghalang sekiranya kerja penyelenggaraan dilaksanakan secara konsisten dan menyeluruh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




