
LPNM perluas pasaran nanas Malaysia ke Zhengzhou, China
ZHENGZHOU — Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) mempergiat usaha meluaskan pasaran antarabangsa menerusi program Percubaan Eksport Buah dan Produk Berasaskan Nanas Malaysia ke wilayah Zhengzhou, China, bermula 9 hingga 15 April ini.
Program itu dilaksanakan di bawah inisiatif Penerokaan Akses Pasaran Industri Nanas Global ke wilayah pasaran baharu yang melibatkan penyertaan delegasi rasmi dari LPNM diketuai oleh Hairul Laham dan Mohamad Hafizuddin Hassim, serta pegawai dari MARDI dan wakil syarikat JTW Resources Sdn. Bhd.
Tumpuan utama misi itu adalah untuk menilai potensi pasaran, menjalankan promosi bersasar serta melaksanakan simulasi pengeksportan bagi menilai daya tahan dan penerimaan buah nanas segar serta produk berasaskan nanas tempatan dalam pasaran China.
Di samping itu, program tersebut juga bertujuan membangunkan satu Prosedur Operasi Standard (SOP) eksport yang selari dengan protokol antarabangsa.
LPNM menjelaskan bahawa pendekatan itu adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk memastikan pematuhan eksport mengikut keperluan negara pengimport, sekali gus menyediakan pemain industri tempatan dengan garis panduan yang komprehensif.
Menurut kenyataan media LPNM, mandat utama yang dibawa ialah meneroka pasaran baharu serta meningkatkan akses eksport nanas Malaysia secara berfasa, dengan sokongan kajian teknikal dan pemasaran strategik.
“Langkah ini mencerminkan komitmen LPNM dalam memperkasakan industri nanas negara dan membina kehadiran kukuh di pasaran global, khususnya di China, yang dikenal pasti sebagai antara destinasi eksport berpotensi tinggi untuk buah tropika,” katanya dalam satu kenyataan.
Usaha itu turut diselaraskan dengan misi nasional untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengeksport utama nanas premium di rantau Asia, sekali gus memperkukuh daya saing produk agro tempatan di peringkat antarabangsa.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |