Berita Semasa

LLM minta syarikat konsesi lebuh raya naik taraf kemudahan penunggang motosikal

KAJANG- Syarikat-syarikat konsesi diminta menaik taraf laluan dan kemudahan berhenti rehat penunggang motosikal di sepanjang lebuh raya di negara ini ekoran peningkatan kes kemalangan maut di lokasi berkenaan.

Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM),
Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, kemudahan yang disediakan ketika ini didapati masih kurang ciri-ciri keselamatan sehingga kerap menjadi lokasi kemalangan.

“Statistik dari Januari hingga Mei 2023 menunjukkan 285 maut akibat kemalangan di lebuh raya di bawah pengawasan LLM, ini angka yang membimbangkan, peratusan tertinggi adalah pengguna motosikal.

“Untuk itu saya menekenkan kepada ahli-ahli lembaga pengarah terutama pengurusan tertinggi LLM supaya memberi perhatian sepenuhnya kepada penambahbaikan berkaitan pengguna motosikal,” katanya.

Ahli Parlimen Jelebu itu berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di Wisma LLM di sini, hari ini.

Jalaluddin berkata, dua lokasi utama yang memerlukan kajian keselamatan ketika ini adalah kemudahan tempat berhenti ketika hujan dan laluan berhampiran plaza tol yang tidak ‘mesraa’ motosikal berkuasa tinggi.

“Kita dapati kebanyakan kemalangan ini berlaku ketika cuaca tidak baik terutama mereka yang mengambil jalan mudah berteduh di bawah jejambat.

“Begitu juga dengan laluan-laluan yang agak berbahaya kerana reka bentuk laluan yang tidak selamat kepada penunggang motosikal berkuasa tinggi.

“Saya dapati ramai pemilik motosikal berkuasa tinggi yang tidak mendapat kemudahan sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, Jalaluddin yang dilantik menjawat jawatan itu pada 15 Jun lalu mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan yang diberikan.

Terdahulu, Jalaluddin memulakan tugas rasmi hari ini setelah dilantik sebagai Pengerusi badan berkanun berkenaan pada 15 Jun lalu, dengan mempengerusikan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah LLM dan melakukan lawatan sulung ke Pusat Pengurusan Trafik (TMC), LLM.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button