Berita SemasaBisnes & Ekonomi

LKIM gesa kerajaan tambah insentif, geran tarik minat nelayan muda

KUALA LUMPUR – Pasaran buruh Malaysia kini mengalami kestabilan menandakan kejayaan dasar ekonomi yang diperkenalkan oleh kerajaan Madani.

Malaysia telah mencatatkan penurunan bilangan penganggur ke paras terendah dalam 47 bulan, sejajar dengan peningkatan jumlah pelaburan langsung asing yang mencapai jumlah tertinggi sebanyak RM329.5 bilion, berbanding dengan RM267.8 bilion pada tahun sebelumnya.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, pencapaian ini mencerminkan kestabilan ekonomi yang semakin kukuh, memberi peluang kepada lebih ramai rakyat, terutamanya golongan muda, untuk mendapatkan pekerjaan dan kadar pengangguran belia berumur 15-24 tahun turut menunjukkan penurunan yang signifikan kepada 10.6 peratus pada bulan Mac 2024, berbanding dengan 14.2 peratus dicatatkan sebelum ini.

“Yakin dengan pelaksanaan dasar-dasar Madani seperti Dasar Gaji Progresif dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, pasti lebih banyak lagi pekerjaan berkemahiran tinggi dapat diwujudkan dan merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Perikanan merupakan sektor penting bagi Malaysia, turut memberikan sumbangan yang signifikan dalam penambahbaikan pasaran pekerjaan.LKIM menekankan perlunya memajukan subsektor perikanan, khususnya dalam bidang perikanan laut dalam dan akuakultur.

“Fokus diberikan untuk menarik minat golongan belia untuk menceburi bidang ini, walaupun kita sedari bahawa kerja dalam bidang ini amat mencabar,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Fadzil turut menyeru kepada Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk menambah insentif dan geran bagi menggalakkan keterlibatan anak muda dalam sektor perikanan serta menggalakkan nelayan muda untuk berdaftar dengan Persatuan Nelayan bagi mendapatkan bantuan yang selayaknya.

Katanya lagi dalam usaha memperkuatkan Persatuan Nelayan, beliau menekankan kepentingan penglibatan aktif nelayan muda dalam entiti perniagaan ini serta menyatakan bahawa kelestarian sektor perikanan memerlukan golongan muda dalam menyumbang idea baru dan inovatif.

Pada masa yang sama, LKIM juga berhasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan universiti tempatan seperti Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk melahirkan nelayan muda yang berkemahiran tinggi dan mahir dalam teknologi seperti penggunaan dron dan internet of things (IOT).

“Dengan memfokuskan kepada inisiatif kerjasama antara sektor awam dan swasta, LKIM berharap pihak berkenaan dapat diperluas bagi memajukan sektor perikanan agar melahirkan lebih ramai usahawan dan tenaga kerja mahir tempatan dalam sektor ini.

“Halatuju utama LKIM adalah untuk memodenkan nelayan dan memperkasa sektor perikanan, dengan harapan kesungguhan ini akan membawa manfaat kepada ekonomi negara dan rakyat Malaysia,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button