
Liverpool raih kejuaraan EPL era Arne Slot
LIVERPOOL – Liverpool kembali menggegar Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila membenam Tottenham Hotspur 5-1 di Anfield untuk menjuarai saingan musim ini, sekali gus melengkapkan kejuaraan ke-20 dalam sejarah kelab.
Kejayaan itu menjadi lebih manis apabila diraih di bawah bimbingan Arne Slot yang baru mengambil alih jawatan pengurus daripada Jurgen Klopp musim lalu.

Slot turut mencatat sejarah sebagai pengurus Belanda pertama yang memenangi EPL.
Menurut Slot, kejayaan itu adalah kesinambungan daripada asas kukuh yang telah dibina Klopp sebelum ini.
“Apa yang paling penting ialah pasukan yang ditinggalkan Jurgen cukup kuat untuk memenangi trofi ini,” katanya kepada BBC hari ini.

Slot turut mengakui musim ini menjadi luar biasa kerana pemain-pemain tampil melebihi jangkaan awal.
“Kami bermula dengan sasaran empat teratas, tetapi para pemain membuktikan mereka mampu melangkaui sasaran itu,” katanya lagi.
Mohamed Salah, yang turut menjaringkan gol dalam perlawanan tersebut, meluahkan rasa syukur kerana akhirnya dapat meraikan kejuaraan bersama penyokong di Anfield, berbeza dengan kejayaan EPL 2020 yang diraih dalam suasana pandemik tanpa kehadiran peminat.
“Kali ini 100 peratus lebih istimewa. Lima tahun lalu kami meraikannya tanpa penyokong, tetapi hari ini Anfield penuh dengan sorakan,” katanya kepada BBC Sport.
Kapten pasukan, Virgil van Dijk, yang menjadi pemain bukan British pertama mengangkat trofi liga untuk Liverpool, turut berkongsi kegembiraan meraikan kejuaraan bersama para penyokong.
“Ini adalah kelab paling indah di dunia. Kami lakukan ini untuk semua peminat Liverpool di seluruh dunia,” katanya kepada Sky Sports.
Sementara itu, Alexis Mac Allister, yang menyertai kelab itu musim lalu selepas kejayaan bersama Argentina di Piala Dunia 2022, berkata pencapaian itu merupakan satu lagi detik istimewa dalam kariernya.
“Saya hanya satu bahagian kecil dalam kejayaan ini. Ia tidak akan berlaku tanpa sokongan dan kerja keras seluruh pasukan,” katanya lagi.
Slot, yang dilihat berjaya menyesuaikan diri dengan budaya kelab dalam tempoh singkat, yakin Liverpool mampu mempertahankan kejuaraan musim hadapan walaupun mengakui cabaran bakal menjadi lebih sengit.
“Kami akan nikmati kejayaan ini, tetapi selepas itu fokus kami adalah untuk kembali lebih kuat musim depan,” katanya lagi.
Liverpool kali terakhir memenangi EPL pada musim 2019/2020 di bawah kendalian Klopp, namun ketika itu penyokong tidak dapat meraikannya di stadium berikutan sekatan pandemik COVID-19.
Dengan kejuaraan kali ini, Liverpool kini menyamai rekod 20 kejuaraan liga domestik yang sebelum ini dipegang oleh Manchester United.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






