BERITA SEMASA

LIMA’25: Penyertaan syarikat tempatan meningkat kepada 434 – Mohamed Khaled

LANGKAWI – Sebanyak 434 syarikat tempatan mengambil bahagian dalam Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25), meningkat berbanding 249 penyertaan pada edisi terdahulu, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurut Mohamed Khaled, peningkatan penyertaan syarikat tempatan itu mencerminkan perkembangan positif industri pertahanan negara serta usaha berterusan kerajaan dalam memperkasa penglibatan pemain tempatan.

“Penyertaan ini menunjukkan keyakinan syarikat tempatan terhadap potensi industri aeroangkasa dan maritim, bukan sahaja dalam aspek komersial, malah pertahanan,” katanya di sini hari ini.

Baca juga : LIMA ’25 fokus perkasa syarikat tempatan, terutama PKS – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengarahkan agar LIMA’25 memberi penekanan kepada pemerkasaan syarikat tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS)

LIMA’25 yang berlangsung selama lima hari bermula esok, melibatkan penyertaan keseluruhan 860 pempamer dari dalam dan luar negara, termasuk 426 pempamer antarabangsa berbanding 299 pada edisi 2023.

Sebanyak 15 pavilion berkumpulan mewakili pelbagai sektor strategik dalam bidang maritim dan aeroangkasa turut akan dipamerkan sepanjang pameran berlangsung.

Menurut Mohamed Khaled, sebanyak 46 negara mengesahkan penyertaan dengan menghantar 140 delegasi peringkat tinggi, termasuk menteri, timbalan menteri serta ketua perkhidmatan ketenteraan.

Mengulas segmen pertunjukan udara, beliau berkata, ia akan tetap meriah dengan penyertaan dua pasukan aerobatik utama.

Katanya, pasukan itu termasuk Russian Knights dan Jupiters, pertunjukan solo oleh juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Layang Layang Flying Academy dan Aerotree Defence and Services, melibatkan keseluruhan 57 pesawat.

LIMA ’25 dijangka menjadi platform utama rantau ini dalam mempamerkan teknologi terkini pertahanan serta membuka peluang kerjasama strategik antara negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button