LIMA’25: Pelaburan dalam teknologi pengawasan dapat perkukuh keselamatan maritim negara – Khaled Nordin
LANGKAWI – Keselamatan maritim negara akan diperkukuhkan menerusi pelaburan dalam teknologi pengawasan canggih, termasuk penggunaan kenderaan autonomi tanpa pemandu (AUV).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, negara juga akan mempertingkat mekanisme perkongsian risikan dan melaksanakan lebih banyak latihan bersama tentera laut dengan rakan antarabangsa yang dipercayai bagi memastikan kesiapsiagaan terhadap ancaman yang kian berkembang, lapor BERNAMA.
“Malaysia akan terus mempertingkat keupayaan angkatan laut dan penguatkuasaan maritim bagi melindungi kepentingan negara.
“Selain itu, kita perlu seiring dengan perkembangan teknologi canggih dan terkini yang dapat mengoptimumkan keupayaan menangani isu maritim,” katanya ketika berucap pada Persidangan Maritim Malaysia (MMC) yang diadakan bersempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25), di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata, Malaysia turut komited memperkukuh mekanisme penguatkuasaan di perairannya bagi memerangi aktiviti penangkapan ikan secara haram, pencemaran marin dan pencerobohan oleh kapal asing.
“Kemakmuran ekonomi sebenar tidak dapat dicapai tanpa keselamatan maritim. Ancaman tradisional dan bukan tradisional, termasuk penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal (IUU), lanun, penyeludupan dan pencemaran laut, terus mencabar kedaulatan negara,” katanya lagi.
Beliau turut menekankan gangguan terhadap rantaian bekalan global, perubahan landskap geopolitik dan ancaman keselamatan yang terus berkembang, menggariskan keperluan kepada pendirian pertahanan maritim yang kukuh dan bersepadu.
Mohamed Khaled turut menekankan peranan teknologi baharu, khususnya penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam analisis data, pemantauan ancaman maritim serta penyelidikan dan penerokaan bawah laut.
Mengenai persidangan itu, beliau berkata ia harus menjadi platform penting bagi pertukaran idea, memperkukuh kerjasama dan merangka dasar yang berpandangan ke hadapan ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maritim terunggul.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






