BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

LIMA’25 berjaya tarik lebih 450,000 pengunjung

LANGKAWI – Lebih 450,000 pengunjung hadir sepanjang penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) yang melabuhkan tirainya semalam.

Jumlah tersebut merangkumi semua kumpulan komersial dan perniagaan termasuk delegasi dalam negara dan antarabangsa dan orang awam.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jumlah itu membuktikan edisi LIMA’25 terus menjadi platform utama dalam perkongsian pelbagai idea, teknologi terbaharu serta kerjasama pertahanan strategik yang sangat penting untuk negara.

Mohamed Khaled berucap pada majlis penutup LIMA’25 di Langkawi.

“Sebanyak 860 pempamer mengambil bahagian dan angka ini adalah lebih tinggi berbanding LIMA’23 yang terdiri daripada 50 peratus pempamer tempatan dan 50 peratus pempamer luar negara.

“Ia satu pencapaian yang sangat baik. Walaupun dalam keadaan suasana tidak menentu dan hujan, kita nampak ramai orang berpusu-pusu masuk ke dewan pameran serta menyaksikan perkembangan teknologi yang sedang dilakukan,” katanya dalam ucapan penutup LIMA’25 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini semalam.

Tambah beliau, sepanjang lima acara berlangsung, ia telah merekodkan 1,400 pertemuan perniagaan antara syarikat (B2B) serta 920 sesi pertemuan antara perniagaan dan kerajaan (B2G).

BACA : LIMA’25: Zahid imbau pengalaman naik Sukhoi SU 30mkm 15 tahun lepas

“Kesemua pencapaian ini memberi gambaran yang baik terhadap perkembangan dan masa hadapan industri pertahanan negara, sekali gus menjadi harapan dan sandaran negara untuk mengurangkan kebergantungan pertahanan terhadap pihak luar,” tegasnya, memetik laporan Bernama.

Selain itu, tambahnya, LIMA’25 turut melebarkan kemeriahan dan keunggulannya dengan merekodkan pertambahan bilangan pameran aset statik berbanding edisi sebelum ini.

Ia termasuklah penampilan sulung high immersive experience dome atau dikenali sebagai A.T.M.O.S Sphere yang merujuk kepada Aeroangkasa, Teknologi, Maritim dan Kelestarian.

Sebahagian juruterbang dari negara luar menunjukkan isyarat MADANI pada terakhir LIMA’25 semalam.

“Ini adalah satu gambaran bagaimana banyak lagi perkara yang kita tidak tahu di dunia ini dan kalau kita ingin menjadi bangsa yang berjaya, kita mesti mempunyai nilai untuk sentiasa belajar dan mencungkil perkara-perkara yang masih belum ada dalam pengetahuan kita,” katanya.

A.T.M.O.S Sphere adalah pameran berteknologi tinggi yang menggunakan teknologi 360 darjah dan imersi audiovisual bagi mencerminkan aspirasi Malaysia untuk menerajui kemajuan dalam bidang darat, laut, udara dan seterusnya.

BACA : LIMA’25: Pelaburan dalam teknologi pengawasan dapat perkukuh keselamatan maritim negara – Khaled Nordin 

LIMA’25 dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan dengan Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC) dan memberi penekanan pada inovasi serta peningkatan daya saing dalam kalangan pemain industri sejajar perkembangan teknologi semasa.

Pameran kali ini adalah pameran terbesar dalam industri maritim dan aeroangkasa di Asia Tenggara sejak dianjurkan kali pertama pada 1991.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button