
Lima GRO antara 10 ditahan dalam serbuan pusat hiburan tanpa lesen di Sri Hartamas
KUALA LUMPUR – Lima gadis pelayan pelanggan (GRO) adalah antara 10 individu yang ditahan dalam serbuan polis di sebuah pusat hiburan tanpa lesen di Sri Hartamas, semalam.
Serbuan dilakukan oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) bersama anggota Balai Hartamas pada pukul 11.15 malam menerusi Op Noda.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pusat hiburan itu disyaki beroperasi tanpa lesen sah, selain tidak mempunyai lesen perniagaan arak dan menggaji pekerja asing.
Premis itu juga didapati melanggar syarat permit dan gagal mengemukakan dokumen diri yang sah.
“Serbuan ini dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, yang mendapati pusat hiburan tersebut menyediakan perkhidmatan GRO dengan lima gadis Myanmar bekerja sebagai penarik pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siasatan awal mendapati setiap GRO terbabit mampu memperoleh pendapatan bulanan sekitar RM2,000 hingga RM3,000 yang dibayar oleh seorang lelaki dikenali sebagai ‘Bos’.
Rusdi berkata, pusat hiburan tersebut dipercayai beroperasi setiap hari dari pukul 7 petang hingga 7 pagi dengan kebanyakan pengunjung adalah warga Myanmar.
Kesemua 10 yang ditahan adalah warga Myanmar berusia antara 22 hingga 35 tahun, termasuk seorang lelaki dipercayai penjaga premis, empat pekerja lelaki dan lima wanita disyaki sebagai GRO.
“Barang rampasan termasuk buku catatan jualan, pembesar suara, mikrofon, amplifier, televisyen dan enam botol minuman keras.
“Semua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk siasatan lanjut,” katanya.
Rusdi berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 55(B)(1) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/64, Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963, Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992 dan Akta Eksais 1976.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |