Berita SemasaDalam Negeri

Lihat agenda pembangunan desa dalam ruang lingkup lebih besar -TPM

KUALA LUMPUR – Agenda pembangunan desa yang direncanakan kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) perlu dilihat dalam ruang lingkup yang lebih besar dan holistik, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, langkah itu perlu diadaptasi dalam memastikan semua kepakaran dan sumber yang ada di setiap agensi di kementerian itu dapat dimanfaatkan dalam program-program pembangunan desa yang lebih holistik.

“Kita memberikan keterangkuman kepada semua agensi (KKDW) dalam menghadapi cabaran yang semakin kompleks.

“Kita tahu kekangan sumber dan kemajuan teknologi, tapi kita tidak boleh berasa selesa melakukan sesuatu yang hakiki dan mesti keluar dari rutin biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulan Oktober Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah 2024, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang, Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd. Khair Razman Mohamed Annuar, Pengerusi FELCRA, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Datuk Idris Lasim.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menegaskan setiap agensi KKDW, seperti FELCRA, MARA, KEMAS, JAKOA dan RISDA memainkan peranan penting dan saling melengkapi.

“Oleh itu, bagi memastikan kejayaan visi keseluruhan KKDW, kita tidak boleh bergerak secara silo atau terasing.

“Kerjasama strategik yang lebih erat antara kementerian, agensi dan lembaga kemajuan wilayah amat diperlukan,” katanya.

Beliau juga menyarankan pelaksanaan Collaborative Framework atau Rangka Kerja Kolaboratif yang menumpukan perkongsian sumber, pengetahuan dan kepakaran untuk mencapai hasil yang optimum.

“Kerjasama strategik yang lebih erat antara kementerian, jabatan, agensi dan lembaga kemajuan wilayah adalah amat diperlukan.

“Kerana dalam konteks pembangunan desa, setiap agensi mempunyai peranan yang unik tetapi saling melengkapi antara satu sama lain,” katanya.

Ahmad Zahid juga mengesa penggunaan Dashboard Komuniti Desa diperluaskan untuk membolehkan akses kepada maklumat pertanian, pendidikan, latihan keusahawanan dan bantuan dimanfaatkan segera.

Katanya, antara usaha lain yang boleh disediakan adalah latihan keusahawanan dengan teknologi terkini yang dapat memberikan impak yang lebih besar kepada seluruh masyarakat desa.

“Saya juga ingin melihat penggunaan Dashboard Komuniti Desa ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button