
LHDN perluas MyInvois e-POS kepada PMKS berpendapatan bawah RM750,000
CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini memperluaskan penggunaan Sistem MyInvois e-POS, satu platform digital Point-of Sale (POS) kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan pendapatan atau jualan tahunan bawah RM750,000.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian), Shaharrudy Othman berkata, sebelum ini, penggunaan sistem tersebut hanya dibuka kepada PMKS dengan pendapatan atau jualan tahunan di bawah
RM250,000.
“Sehubungan itu, LHDN mempelawa pembayar cukai yang layak dan berminat untuk mendaftar bagi menggunakan Sistem MyInvois e-POS yang kini telah dibuka.
“Kami juga telah menyediakan Sistem dan Portal MyInvois serta Aplikasi MyInvois bagi membolehkan pembayar cukai melaksanakan e-Invois. Platform ini disediakan secara percuma kepada semua pembayar cukai terutama dalam menyokong PMKS dan memastikan ketersediaan pelaksanaan e-Invois,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelaksanaan e-Invois Fasa Tiga, di sini hari ini.
Mengenai fasa 3 bermula hari ini, Shaharrudy berkata, ia akan melibatkan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM5 juta hingga RM25 juta.
“Dijangka, lebih 50,000 pembayar cukai terlibat dalam fasa tiga ini dan saya jangka kadar penyertaan adalah sama seperti pelaksanaan fasa satu dan dua sebelum ini.
“Lebih 5,400 pembayar cukai telah melaksanakan fasa satu sistem e-Invois bermula 1 Ogos 2024 manakala untuk fasa dua, sekitar 13,000 pembayar cukai melaksanakan e-Invois sejak 1 Januari lalu.
“Jadi kita berharap kadar penyertaan itu sama seperti fasa satu dan dua. Sehingga kini, sebanyak 352 juta e-Invois telah dikemukakan pembayar cukai,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |