
LHDN meterai MoU bersama Pengakap, didik generasi muda berkaitan cukai
BANGI – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi membangun dan menjalin kerjasama berkaitan pendidikan cukai.
MoU berkenaan dimeterai oleh pengurusan tertinggi kedua-dua pihak dengan LHDN diketuai oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) LHDN, Shaharrudy Othman manakala PPM diwakili oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Nasaruddin Shamsuddin.
Nasaruddin berkata, MoU itu dimeterai hasil kesepakatan bersama bagi menyahut saranan kerajaan membangun negara khususnya mengenai pendidikan dan kesedaran cukai dalam kalangan generasi muda.
“Antara agenda kerjasama utama yang dipersetujui adalah penganjuran aktiviti pendidikan dan kesedaran cukai dalam kalangan ahli Pengakap melalui program Jamboree-on-the Air (JOTA) dan Jamboree-on-the-Internet (JOTI).
“Jalinan kerjasama ini bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh lebih 600,000 ahli pengakap seluruh negara tetapi juga dapat menyebarkan mesej yang positif berhubung percukaian dan kepentinganya kepada kemakmuran negara sekali gus akan berupaya membentuk warganegara yang cakna cukai,” katanya.

Sementara itu, Shaharrudy dalam ucapannya berkata, kerjasama yang dijalinkan dengan PPM itu merupakan antara inisiatif pihaknya bagi mendekati generasi muda dalam menyebarluaskan maklumat dan kesedaran cukai.
“Ramai generasi muda dan belia di seluruh Malaysia pada masa kini sudah berada dalam kalangan pembayar cukai apabila kerajaan telah mewajibkan pendaftaran nombor pengenalan cukai (TIN) secara automatik bagi warganegara berumur 18 tahun sejak 2022.
“Sebagai rekod, seramai 10,849,315 pembayar cukai dalam kalangan belia iaitu berumur 18 hingga 40 tahun telah didaftarkan dalam pangkalan data LHDN sehingga tahun 2024.
” Sehubungan itu, pendedahan mengenai tanggungjawab percukaian kepada golongan muda perlu diperkasa sekali gus dapat bersama-sama membangunkan negara melalui medium percukaian,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |