
LHDN lancar OP Dagang, buru syarikat lapor pendapatan di bawah margin industri
JOHOR BAHRU – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terus proaktif dalam menangani isu pematuhan cukai melalui pelaksanaan operasi pematuhan peringkat nasional 2025 dengan melancarkan OP Dagang.
Menurut LHDN dalam satu kenyataan, operasi kolaberatif kali kedua bersama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada tahun ini berlangsung selama lima hari mulai hari ini hingga 28 Februari ini secara serentak di seluruh negara.
Katanya, seramai 1,816 pegawai LHDN melibatkan 2,495 kes di seluruh negara dengan fokus utama kali ini memberi tumpuan kepada empat aktiviti utama yang merangkumi audit, pematuhan strategik (siasatan), operasi verifikasi pembayar cukai dan pungutan.
“Tumpuan utama diberikan kepada lima sektor industri yang terpilih iaitu pembinaan, pembuatan, hartanah, pengangkutan dan penyimpanan serta pertanian dengan risiko antaranya syarikat yang melaporkan pendapatan di bawah margin industri dan syarikat yang belum pernah diaudit bagi memastikan pelaporan dibuat dengan betul.
“Selain, syarikat yang menuntut insentif bagi memastikan tuntutan dibuat mengikut garis panduan dan syarikat yang menjalankan transaksi harga pindahan dengan syarikat berkaitan di luar negara bagi memastikan prinsip harga selengan dipatuhi,” katanya hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin di Menara HASiL Johor Bahru di sini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Kastam Johor, Bahagian Pematuhan, JKDM, Raja Normala I. Ali dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) LHDN, Datuk Hisham Rusli.
Sementara itu, Abu Tariq dalam ucapan berkata, pelaksanaan operasi itu telah dirancang dengan teliti melibatkan semua pasukan pelaksana dari LHDN negeri seluruh negara dan cawangan khas.
Katanya, ia bagi memantapkan gerak kerja yang lebih efektif ke arah meningkatkan pematuhan cukai dalam kalangan masyarakat dan seterusnya menyumbang kepada keutuhan landskap pembangunan negara.
“Strategi mampan dan amalan tatakelola yang baik juga telah membantu LHDN merekodkan jumlah kutipan yang memberangsangkan pada tahun lalu seterusnya memberikan keyakinan kepada kerajaan dalam mengatur belanjawan negara dengan lebih efisien,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |