BERITA SEMASA

LHDN laksanakan Operasi Pematuhan Cukai “OP Metro 3.0” di Lembah Klang

BANGI – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) memperkukuh usaha penguatkuasaan cukai melalui Operasi Pematuhan Cukai siri kelapan, dikenali sebagai “OP Metro 3.0” yang berlangsung secara serentak di sekitar Lembah Klang dari 16 hingga 20 Jun 2025.

Menurut kenyataan LHDN hari ini, OP Metro 3.0 merupakan kesinambungan daripada OP Metro 2.0 yang berjaya dilaksanakan pada Februari lalu.

Operasi bersepadu itu melibatkan pelbagai sektor termasuk Sektor Pematuhan Cukai, Sektor Siasatan, Jabatan Pungutan Hasil, Jabatan Perisikan dan Profiling serta pasukan pelaksana dari LHDN Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor.

“Pelaksanaan OP Metro 3.0 ini telah dirancang dengan teliti melibatkan empat aktiviti utama, iaitu audit, pungutan, verifikasi pembayar cukai dan pematuhan strategik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin, dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, operasi itu memberi tumpuan kepada industri seperti pembinaan, pembuatan, perkhidmatan, perundingan dan pemborongan.

“Sebanyak 682 kes telah dikenal pasti untuk operasi kali ini, yang melibatkan seramai 590 orang pegawai LHDN,” katanya.

Selain itu, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut terlibat, menjadikan penglibatan mereka kali kedua selepas penyertaan dalam OP Rejang yang dilaksanakan di Sarawak pada April lalu.

Dr. Abu Tariq berkata, OP Metro 3.0 bukan sekadar operasi penguatkuasaan tetapi seruan nasional untuk memperkukuh budaya pematuhan cukai.

“Kami percaya majoriti rakyat Malaysia adalah pembayar cukai yang jujur, namun dalam setiap sistem pasti ada segmen kecil yang tersasar sama ada secara sengaja atau tidak.

“Oleh itu, LHDN bertanggungjawab untuk mengesan, bertindak dan juga mendampingi serta memperbaiki,” katanya.

Majlis perasmian OP Metro 3.0 disempurnakan oleh Datuk Dr. Abu Tariq di Menara Hasil Bangi dengan kehadiran pengurusan kanan LHDN dan SSM.

LHDN turut menegaskan pelaksanaan operasi ini bertujuan mempertingkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar percukaian dan memastikan dasar tersebut dilaksanakan secara holistik serta berstruktur.

“Kami berharap kerjasama antara kedua-dua agensi ini akan terus diperkukuh dalam memastikan agenda percukaian nasional dapat dilaksanakan secara lebih efektif dan efisien,” katanya.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas boleh diajukan melalui Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 atau melalui borang maklum balas di portal rasmi LHDN.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button