BERITA SEMASADALAM NEGERI

LHDN anjur Seminar Percukaian 2025

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) akan menganjurkan Seminar Harga Pindaan dan Tadbir Urus Percukaian 2025 pada 27 Mei ini bagi meningkatkan pemahaman dan pelaksanaan dasar percukaian lebih telus serta efisien.

Seminar itu dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Alumni Hasil Dalam Negeri Malaysia (AIRA), selaras dengan garis panduan terkini berhubung Harga Pindaan (Transfer Pricing) dan Tadbir Urus Percukaian (Tax Corporate Governance) yang telah diperkenalkan.

LHDN dalam kenyataan berkata, seminar tersebut merupakan sebahagian daripada platform strategik untuk memupuk dialog dua hala antara pihak berkuasa percukaian dan pemain industri khususnya dalam menghadapi cabaran semasa serta penambahbaikan terhadap amalan kepatuhan cukai di Malaysia.

Seminar tersebut dijangka menarik penyertaan daripada kalangan akauntan, juruaudit, penasihat cukai serta individu dan organisasi yang terlibat secara langsung dalam pengurusan percukaian korporat.

Penganjuran seminar itu akan dilaksanakan melalui dua kaedah, iaitu secara fizikal di The Royale Chulan Kuala Lumpur dan secara atas talian menerusi platform webinar.

“Yuran penyertaan adalah sebanyak RM780 bagi setiap peserta tanpa mengira kaedah penyertaan dan peserta akan menerima pengiktirafan sebanyak lapan mata Continuing Professional Development (CPD), sejajar dengan keperluan pembangunan profesional berterusan dalam bidang kewangan dan percukaian,” katanya.

LHDN berkata, tiga sesi utama akan dijalankan sepanjang seminar berlangsung, merangkumi topik-topik penting seperti perubahan terkini dalam dasar harga pindahan dan kesannya terhadap perniagaan tempatan, cabaran dalam penyediaan dokumentasi kontemporari harga pindahan serta penekanan terhadap tadbir urus percukaian sebagai asas kepada pematuhan dan ketelusan dalam organisasi.

LHDN menyatakan seminar itu turut membuka ruang kepada peserta untuk menyuarakan maklum balas, pandangan serta cadangan penambahbaikan terhadap pelaksanaan dasar percukaian sedia ada.

Usaha itu dilihat mampu mengukuhkan sistem kawalan dalaman organisasi sekaligus meningkatkan keyakinan pemegang taruh terhadap tadbir urus yang baik dalam persekitaran perniagaan.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai seminar boleh mendaftar melalui pautan rasmi yang disediakan oleh pihak penganjur: https://forms.office.com/r/ssSr9RS4an.

Sebarang pertanyaan lanjut juga boleh dikemukakan kepada urus setia menerusi emel yang disediakan oleh LHDN.

Sebagai makluman tambahan, yuran penyertaan seminar boleh dituntut melalui Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), tertakluk kepada syarat dan prosedur yang telah ditetapkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button