Berita Semasa

LFL bidas kenyataan PM mahu rasmikan pecah tanah masjid sedangkan isu tapak kuil masih dalam perbincangan

KUALA LUMPUR – Lawyers for Liberty (LFL) hari ini membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu merasmikan majlis pecah tanah sebuah masjid yang bakal dibina di tapak Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, di sini.

Pengarah Eksekutif LFL, Zaid Malek berkata, kenyataan Perdana Menteri itu dibuat secara tergesa-gesa sedangkan perbincangan mengenai tapak itu masih belum dimuktamadkan.

“Mengapa perlu tergesa-gesa bagi (Datuk Seri) Anwar untuk melaksanakan majlis pecah tanah pada 27 Mac sedangkan perbincangan antara pihak kuil dan DBKL masih berlangsung?

“Mengapa Anwar tidak bersedia memberikan ruang dan masa yang diperlukan untuk proses itu dijalankan?,” kata Zaid dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, LFL tidak dapat menerima kenyataan Anwar bahawa pemindahan sebuah kuil wajar dilaksanakan demi membina sebuah masjid di tapak yang sama.

“Adakah ini pendirian yang sesuai untuk seorang Perdana Menteri yang dikatakan sebagai ‘reformis’? Adakah ini sejajar dengan kepentingan negara yang berbilang agama dan budaya seperti negara kita?” soal Zaid.

Zaid seterusnya berkata, dakwaan Perdana Menteri bahawa kuil tersebut dibina ‘tanpa kebenaran’ adalah salah dari segi fakta, kerana ia dipindahkan ke lokasi sekarang daripada tapak asalnya atas arahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada tahun 2008 dengan kebenaran bertulis.

“Oleh itu, adalah tidak jujur bagi Anwar untuk mendakwa bahawa kuil ini dibina tanpa kebenaran,” kata Zaid lagi.

Beliau kemudiannya mengulangi pendirian LFL bahawa kuil tersebut dikekalkan di lokasi asal, manakala masjid yang baru dicadangkan itu dibina di atas tapak kosong bersebelahan.

“Kami menegaskan bahawa penyelesaian terbaik adalah membiarkan kuil itu kekal di tempatnya dan membina masjid di tanah kosong bersebelahan.

“Semua rakyat Malaysia yang berfikiran rasional akan menyokong penyelesaian ini,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button